PM Anwar Adakan Pertemuan Dua Hala Dengan Rakan Sejawat Singapura, Laos
Daripada Linda Khoo Hui Li
CEBU, 7 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dua hala dengan dua rakan sejawatnya dari Singapura dan Laos, pada sela-sela Persidangan Kemuncak ASEAN Ke-48 dan Mesyuarat Berkaitan, hari ini.
Anwar yang tiba di Cebu hari ini, mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong untuk terus memperkukuh kerjasama strategik berteraskan kepentingan bersama, kestabilan serantau serta kemakmuran rakyat kedua-dua negara.
Dalam satu kenyataan Pejabat Perdana Menteri berkata antara fokus utama yang dibincangkan termasuklah mempercepat pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan memastikan projek RTS Link dapat beroperasi menjelang penghujung tahun ini.
Selain itu, kedua-dua pemimpin juga mengadakan perbincangan untuk memperluas kerjasama tenaga boleh diperbaharu dan Grid Tenaga ASEAN, di samping memperdalam kerjasama dalam bidang Penangkapan dan Penyimpanan Karbon (CCS).
“Malaysia turut menegaskan kepentingan meneruskan rundingan berkaitan sempadan maritim secara konstruktif dan berlandaskan undang-undang antarabangsa, selain memastikan isu bekalan air, ruang udara serta pengurusan Kuala Lumpur Flight Information Region (KL FIR) ditangani menerusi semangat hormat-menghormati dan persefahaman dua hala,” menurut kenyataan itu.
Berhubung perkembangan serantau dan antarabangsa, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan bahawa Anwar menekankan kepentingan gencatan senjata berkekalan di Asia Barat, kebebasan pelayaran di Selat Hormuz, serta keperluan ASEAN terus memainkan peranan yang berprinsip dalam memelihara kestabilan, keselamatan dan kelangsungan rantaian bekalan global.
Sebelum itu, Anwar juga mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Laos Dr Sonexay Siphandone dan menzahirkan iltizam untuk memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, tenaga boleh baharu, pendidikan tinggi, pertahanan, telekomunikasi dan keterhubungan serantau.
“Malaysia dan Laos berkongsi tekad yang utuh untuk terus memperkukuh hubungan persahabatan dan kerjasama strategik demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara serta kemakmuran rantau ASEAN secara keseluruhannya,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, Malaysia turut menyatakan sokongan terhadap usaha memperkasakan integrasi ekonomi dan logistik ASEAN, termasuk menerusi jaringan rel ASEAN Express yang menghubungkan Malaysia, Thailand, Laos dan China, di samping memperkukuh kerjasama tenaga serantau melalui Projek Integrasi Tenaga Laos-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS-PIP).
“Dalam semangat Malaysia MADANI dan kebersamaan ASEAN, kita percaya bahawa pembangunan yang mampan, saling menghormati serta perkongsian kemakmuran merupakan wahana penting bagi menjamin kestabilan dan masa depan rantau ini,” menurut kenyataan tersebut.
Pemimpin dan wakil ASEAN mula tiba di Cebu pada Khamis, bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-48, dengan daya tahan tenaga dan keselamatan makanan dijangka mendominasi perbincangan di tengah-tengah konflik Asia Barat.
-- BERNAMA
