Ekspo China-Asia Selatan Ke-10 Bermula Di Kunming
KUNMING, 11 Jun (Bernama-CMG) -- Ekspo China-Asia Selatan ke-10 secara rasmi membuka tirainya di bandar Kunming, provinsi Yunnan bermula hari ini (11 Jun) sehingga 16 Jun ini.
Ketua Pengarah Jabatan Perdagangan Provinsi Yunnan Li Chaowei berkata sebanyak 66 negara dan wilayah serta organisasi antarabangsa telah mendaftar untuk menyertai ekspo itu.
Beliau berkata edisi kali ini buat julung-julung kalinya disertai semua negara Asia Selatan, Asia Tenggara dan anggota Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
“Ekspo kali ini turut menampilkan pavilion perdagangan perkhidmatan yang memberi tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu kecerdasan buatan (AI), perdagangan digital dan kuasa pengkomputeran rentas sempadan,” kata Li dalam sidang media pada Rabu.
Pavilion Asia Tenggara pula akan menghimpunkan syarikat dari negara ASEAN, termasuk Malaysia, Vietnam dan Thailand.
Pelbagai produk istimewa seperti hasil kreatif budaya, produk pertanian dan perkilangan, makanan ringan serta makanan popular dalam talian akan dipamerkan.
Selain itu, pembeli profesional dan penduduk tempatan dan pelancong berpeluang untuk berinteraksi secara langsung dengan syarikat dari negara ASEAN, sekali gus membolehkan pengguna tempatan mendapatkan pelbagai produk berkualiti tinggi dari rantau ASEAN dengan lebih mudah.
-- BERNAMA-CMG
