ASEAN GeoAI Fusion 2026 Tarik Lebih 1,000 Peserta Dari Seluruh ASEAN
PUTRAJAYA, 13 Julai (Bernama) -- Lebih 1,000 peserta dari seluruh ASEAN menyertai ASEAN GeoAI Fusion 2026 sekali gus membuktikan momentum serantau yang kian berkembang dalam memanfaatkan Kecerdasan Buatan Geospatial (GeoAI) bagi menangani cabaran dunia sebenar dan mempercepat transformasi digital.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysian (MCMC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan program itu, yang diterajui suruhanjaya berkenaan, berfungsi sebagai platform serantau yang memperkukuh bakat digital, memupuk inovasi dan mempererat kerjasama dalam membina ASEAN yang lebih terhubung, berdaya tahan serta inklusif dari segi digital.
“Program ini menghimpunkan peserta, penggiat industri, penyelidik dan pakar teknikal dari seluruh rantau ini bagi meneroka bagaimana GeoAI boleh diaplikasi bagi meningkatkan ketersambungan, memperkukuh infrastruktur digital serta menyokong pembuatan keputusan berasaskan bukti.
“Ia turut menyediakan peluang untuk pertukaran pengetahuan rentas sempadan dan kerjasama bagi mempercepat penerimaan teknologi digital baharu yang semakin berkembang di seluruh ASEAN,” menurut kenyataan itu.
Menurut MCMC, GeoAI menggabungkan AI dengan data geospatial dan berasaskan lokasi untuk menghasilkan pendapat yang boleh diambil tindakan bagi perancangan serta pembuatan keputusan yang lebih bijak.
“Penggunaannya merangkumi penoptimuman rangkaian telekomunikasi, perancangan infrastruktur, kesiapsiagaan mendepani bencana, pemantauan alam sekitar dan peluasan ketersambungan digital kepada komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan.
“Penyertaan serantau yang kukuh menunjukkan peningkatan pengiktirafan terhadap GeoAI sebagai pemacu penting dalam inovasi dan pembangunan digital yang mampan,” katanya.
Kenyataan itu memaklumkan sebagai sebahagian daripada program itu, para peserta telah menamatkan Bootcamp 1, yang diadakan dari 7 hingga 9 Julai di bawah tema “Geospatial Intelligence for a Connected ASEAN”.
MCMC memaklumkan bahawa melalui sesi yang dikendalikan oleh pakar, pembelajaran secara amali serta kajian kes serantau, para peserta meneroka aplikasi praktikal GeoAI dalam memperkukuh perancangan telekomunikasi, menyokong pembuatan dasar berasaskan data dan memajukan keterangkuman digital.
“Mereka juga mula membangunkan penyelesaian inovatif bagi meningkatkan keterhubungan, memperkukuh daya tahan terhadap bencana dan mengoptimumkan perancangan infrastruktur di seluruh rantau ASEAN,” katanya.
Menurut kenyataan itu, perjalanan pembelajaran itu akan diteruskan dengan Bootcamp 2, yang dijadualkan dari 21 hingga 23 Julai, dengan para peserta mengukuhkan lagi keupayaan teknikal mereka, menambah baik penyelesaian praktikal berasaskan GeoAI dan melakukan persiapan untuk fasa hackathon program berkenaan.
Menurut MCMC, hackathon akan memberi peluang kepada para peserta menterjemah idea kepada penyelesaian inovatif yang menangani cabaran dunia sebenar yang didepani komuniti di seluruh ASEAN.
-- BERNAMA
