Kementerian Luar Rai Hari ASEAN Ke-59, Sempena Perjalanan Malaysia Bersama ASEAN

PUTRAJAYA, 10 Ogos -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan bergambar bersama ketika sambutan Hari ASEAN ke-59 di Wisma Putra hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Luar Datuk Lukanisman Awang Sauni (kiri); Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing (kedua, kanan) dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin (kanan). -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
10/08/2026 06:04 PM

PUTRAJAYA, 10 Ogos (Bernama) -- Kementerian Luar pada Isnin menganjurkan sambutan Hari ASEAN di sini sempena ulang tahun ke-59 penubuhan blok serantau itu yang disambut pada 8 Ogos.

Majlis yang berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kementerian Luar dan dihadiri 300 tetamu itu turut menandakan hampir enam dekad kerjasama, sumbangan dan komitmen Malaysia terhadap ASEAN.

Acara yang dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Negaraku dan lagu ASEAN, ASEAN Way, dirasmikan oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Kementerian itu memaklumkan bahawa sambutan Hari ASEAN yang bertemakan "59 Tahun Mengharungi Perjalanan Bersama" mencerminkan komitmen bersama negara anggota, di samping terus memperkukuh hubungan yang mengikat negara Asia Tenggara.

"Tahun ini menandakan satu detik penting dalam perjalanan ASEAN. Berteraskan tiga tonggak utamanya, iaitu politik-keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya, ASEAN terus memperlihatkan kekuatan, perpaduan dan daya tahan komunitinya," menurut kenyataan itu.

Sambutan itu turut menampilkan tayangan montaj video "Perjalanan ASEAN: Mengemudi Masa Depan Kita Bersama - 59 Tahun Malaysia dalam ASEAN" serta upacara memotong kek yang diketuai Mohamad.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, Timbalan Menteri Luar Datuk Lukanisman Awang Sauni, pegawai daripada kementerian berkaitan, anggota kor diplomatik serta wakil pertubuhan antarabangsa.

ASEAN ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 oleh Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand menerusi pemeteraian Deklarasi Bangkok. Pertubuhan itu kemudian berkembang kepada 11 negara anggota dengan penyertaan Brunei pada 1984, Vietnam (1995), Laos (1997), Myanmar (1997) dan Kemboja (1999).

Timor-Leste, anggota terbaharunya, diterima menyertai ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober tahun lepas.

-- BERNAMA