Kepusatan ASEAN Mesti Kekal Kompas Utama Di Tengah-tengah Perpecahan Global - Mohamad Hasan
PUTRAJAYA, 10 Ogos (Bernama) -- Kepusatan ASEAN mesti kekal sebagai kompas berautonomi dalam memandu perjalanan kolektif rantau ini, terutamanya ketika orde antarabangsa sedia ada berdepan tahap perpecahan yang belum pernah berlaku sebelum ini, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata blok itu perlu menyedari bahawa etos ini bukanlah satu hak tetapi keistimewaan yang perlu dipertahankan dalam mendepani kedinamikan rantau dan global yang kian berubah.
“Dalam dunia yang berpecah-belah, kepusatan dan perpaduan kita (ASEAN) adalah lebih penting daripada sebelum ini. Orde antarabangsa sedia ada bukan sahaja tertekan, malah berdepan tahap perpecahan yang belum pernah berlaku, dicirikan oleh persaingan kuasa besar, persaingan geo-ekonomi dan pusingan multilateralisme yang rapuh. Dunia kini semakin kompleks, beranalisis dan sukar diramal.
“ASEAN mesti berdepan realiti ini dengan kejelasan tujuan dan cita-cita. Sedang kita mengemudi lanskap strategik yang tidak menentu, kita mesti terus menjadi suara yang rasional serta komuniti berdaya tahan yang komited terhadap keamanan dan kemakmuran bersama,” katanya dalam ucapan pada sambutan Hari ASEAN Ke-59 di sini, pada Isnin.
Turut hadir Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Datuk Seri Tiong King Sing, Timbalan Menteri Luar Datuk Lukanisman Awang Sauni, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Tan Sri Amran Mohamed Zin serta ketua-ketua perwakilan diplomatik asing.
Mohamad berkata komitmen ASEAN terhadap regionalisme dan multilateralisme kekal menjadi tunggak kepada kestabilan dan kemajuan kolektif rantau ini.
“ASEAN mesti menjadi ejen perubahan, yang secara bijaksana membentuk peraturan dan norma global untuk kekal terbuka, inklusif dan berteraskan prinsip keadilan secara kukuh,” katanya.
“Sebagai sebuah organisasi berpandangan ke luar dalam dunia multipolar, ASEAN mesti terus memberikan impak yang luar biasa dengan meluaskan rakan globalnya. Memperkukuh hubungan dan rangkaian strategik dengan pelbagai rakan kongsi bukan lagi satu pilihan; ia adalah satu keperluan strategik. Namun kita perlu berurusan sebagai rakan setara, dan paling penting, kita mestilah menjadi penentu dan bukannya ditentukan,” kata Mohamad.
Beliau berkata dalam persekitaran global yang semakin terpisah mengikut paksi, negara-negara anggota tidak boleh membiarkan perpecahan dalaman melemahkan pengaruh kolektif blok berkenaan.
"Kita tidak mampu melihat ASEAN yang lemah, terpisah atau berkonflik sesama sendiri. Masa depan negara kita naik atau turun bersama rantau ini. Dalam zaman yang semakin mengutub, ASEAN mesti terus memanfaatkan kuasa perhimpunannya untuk memajukan dialog dan diplomasi,” katanya.
Mohamad berkata ekonomi digital akan menjadi pemacu utama bagi fasa pertumbuhan ASEAN seterusnya, memajukan usaha bagi Perjanjian Rangka Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) di samping memodenkan perjanjian perdagangan sedia ada dengan rakan termasuk China, India dan Korea Selatan.
"Pendekatan biasa bukan lagi satu pilihan. Semasa ASEAN merangka hala tuju masa depannya, kita mesti menerapkan kelestarian di teras agenda ekonomi kita," katanya sambil memetik percepatan Grid Kuasa ASEAN untuk memajukan peralihan tenaga hijau, menarik pelaburan dan meningkatkan keterjaminan tenaga jangka panjang.
Ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 oleh Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand menerusi penandatanganan Deklarasi Bangkok, ASEAN sejak itu telah berkembang kepada 11 ahli berikutan kemasukan Brunei pada 1984, Vietnam (1995), Laos (1997), Myanmar (1997) dan Kemboja (1999).
Timor-Leste, ahli terbaharunya, telah diterima masuk semasa Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 pada Oktober tahun lepas.
Sambutan Hari ASEAN tahun ini dianjurkan di bawah tema “Mengemudi Masa Depan Kita Bersama", yang juga merupakan tema ASEAN 2026 di bawah Kepengerusian Filipina.
-- BERNAMA
