Perdagangan Intra-ASEAN Perlu Dipertingkat, Masih Belum Capai 25 Peratus
PUTRAJAYA, 10 Ogos (Bernama) -- ASEAN perlu meningkatkan perdagangan sesama negara anggota atau perdagangan intra-ASEAN yang kini belum mencapai 25 peratus, bagi merealisasikan potensi blok serantau itu untuk muncul sebagai ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ASEAN kini tidak hanya tertumpu kepada isu politik semata-mata, sebaliknya turut memberi perhatian kepada usaha memperkukuh kedudukannya sebagai sebuah blok ekonomi utama.
“Kita nak lihat supaya perdagangan di antara negara-negara dalam ASEAN ini ditingkatkan kerana setakat hari ini perdagangan antara ASEAN, “intra-ASEAN trade”, tidak melebihi 25 peratus.
“Banyak perkara, banyak perdagangan yang perlu kita pertingkatkan sesama negara dalam ASEAN,” kata beliau dalam sidang akhbar selepas menghadiri sambutan Hari ASEAN Ke-59, di sini pada Isnin.
Mohamad berkata ASEAN mempunyai pelbagai mekanisme yang boleh dimanfaatkan bagi merancakkan perdagangan antara negara anggota, termasuk menerusi mekanisme yang dapat memudahkan pergerakan barangan merentasi sempadan.
“Dan kita juga mempunyai mekanisme-mekanisme yang membolehkan perdagangan ini ditingkatkan dengan kita mengadakan, apa yang dipanggil “free movement of goods” antara negara-negara ASEAN dan yang lain-lain.
“Ini akan memudahkan lagi perdagangan yang mahu kita tingkatkan antara negara-negara ASEAN,” kata beliau.
Malaysia ketika menerajui ASEAN tahun lalu berjaya membawa pelbagai inisiatif dan resolusi yang menjadi asas kepada kesinambungan agenda ekonomi rantau berkenaan, kata beliau.
Filipina, selaku Pengerusi ASEAN tahun ini pula meneruskan usul dan resolusi yang telah diputuskan melalui Deklarasi Kuala Lumpur serta ketika Malaysia memegang kepengerusian ASEAN.
“Insya-Allah, dengan Malaysia diberi kepercayaan sebagai “Permanent Shepherd” ataupun Pengaudit Tetap Visi Komuniti ASEAN 2045 (ACV 2045), kita mahu melihat supaya asas kita iaitu perdagangan ini (intra-ASEAN) dapat kita tingkatkan dan kita jayakan bersama,” kata beliau.
-- BERNAMA
