Malaysia Jadi Pilihan Lawatan Pertama PM Bangladesh, Bukti Rakan Kongsi Dipercayai

KUALA LUMPUR, 14 Julai -- Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, Manjurul Karim Khan Chowdhury tampil sebagai tetamu pada program The Nation Diplomatic Dispatch terbitan Bernama TV di Wisma Bernama, hari ini. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
15/07/2026 10:13 AM

Oleh Nur Atiq Maisarah Suhaimi

KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Pemilihan Malaysia sebagai destinasi pertama lawatan rasmi dua hala pertama Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman ke luar negara selepas memegang jawatan pada Februari lepas mencerminkan kepentingan Malaysia sebagai rakan kongsi yang dipercayai, kata Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, Manjurul Karim Khan Chowdhury.

Beliau berkata walaupun lawatan itu berlangsung kurang 24 jam, ia sangat produktif dengan kedua-dua pemimpin memberikan isyarat jelas untuk mempertingkat hubungan dua hala ke arah perkongsian yang teguh, di samping memperluas lagi kerjasama dalam pelbagai bidang.

“Perdana Menteri kami telah memilih Malaysia sebagai negara pertama untuk lawatan ke luar negara, jadi ia memberikan mesej yang jelas tentang bagaimana Bangladesh memberikan atau meletakkan kepentingan dalam hubungannya dengan Malaysia.

“Ia juga memberi satu lagi petunjuk bahawa Bangladesh sentiasa melihat Malaysia sebagai rakan dan rakan kongsi yang dipercayai, dan Bangladesh bersedia untuk melangkah lebih jauh serta mendalam bagi memperkukuh kerjasama dua halanya,” katanya dalam program Bernama TV, “The Nation”, pada Selasa.

Pesuruhjaya Tinggi itu berkata lawatan Tarique memberikan momentum baharu kepada hubungan Dhaka-Malaysia sekali gus membuka jalan bagi kedua-dua pihak untuk meneroka kerjasama baharu yang membawa manfaat bersama.

Beliau berkata persetujuan Malaysia dan Bangladesh mempercepat rundingan mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan sasaran untuk dimuktamadkan pada 2027, bakal membantu merancakkan perdagangan dan pelaburan dua hala.

“Malaysia boleh mempertimbangkan untuk melabur di Bangladesh bagi produk yang akhirnya akan dijual ke pasaran ASEAN. Pada masa ini, produk kami di pasaran Malaysia berdepan tarif hampir 32 peratus. Jika kita boleh mempersetujui perjanjian perdagangan bebas, ia akan dikurangkan secara drastik. Ini akan membantu menyuburkan perdagangan dua hala kita.

“Pada masa yang sama, Bangladesh menggalakkan Malaysia untuk melabur dalam infrastruktur kami. Bangladesh akan membina infrastruktur untuk jangka masa panjang. Terdapat peluang dalam struktur telekomunikasi, jambatan jalan raya dan bidang lain, malah dalam bidang pembuatan maju, ekonomi digital dan lain-lain,” katanya.

Chowdhury berkata Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Pertahanan akan memperkukuh kolaborasi antara lain dalam bidang latihan, teknikal dan pembinaan kapasiti, di samping menyediakan platform untuk meningkatkan usaha memerangi keganasan, perkongsian risikan dan kerjasama menentang ancaman keselamatan yang muncul seperti jenayah rentas sempadan, keselamatan siber dan keselamatan maritim.

Mengenai penglibatan Bangladesh yang lebih rapat dengan ASEAN, Chowdhury berkata Bangladesh sedang mendapatkan sokongan Malaysia bagi aspirasinya untuk menjadi rakan dialog sektoral ASEAN, sambil menambah bahawa negara itu bersedia untuk menyumbang secara bermakna dalam kapasiti tersebut.

Perdana Menteri Bangladesh mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bulan lepas atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bangladesh ialah rakan dagang ke-28 terbesar Malaysia di peringkat global, dengan jumlah dagangan mencecah RM12.18 bilion. Ia juga merupakan rakan dagang kedua terbesar, destinasi eksport dan sumber import Malaysia di rantau Asia Selatan selepas India.

Pada 2025, jumlah dagangan antara Malaysia dan Bangladesh berjumlah RM12.18 bilion (US$2.84 bilion). Jumlah eksport Malaysia ke Bangladesh bernilai RM10.08 bilion (US$2.35 bilion), dengan produk petroleum menjadi eksport utama.

Import dari Bangladesh berjumlah RM2.10 bilion (US$500 juta) yang sebahagian besarnya terdiri daripada tekstil, pakaian dan kasut.

-- BERNAMA