Menteri Luar ASEAN Bincang Langkah Seterusnya Tangani Isu Myanmar Minggu Depan
MANILA, 17 Julai (Bernama-PNA) -- Filipina selaku Pengerusi ASEAN akan mengadakan satu lagi mesyuarat menteri luar Asia Tenggara bagi membincangkan "langkah seterusnya" yang akan diambil dalam menangani situasi di Myanmar yang dilanda krisis politik, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Sesi perundingan tidak rasmi yang diperluas mengenai pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) di Myanmar dijadual berlangsung minggu depan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN peringkat tinggi di Manila.
Perbincangan itu diadakan susulan mesyuarat pertama secara bersemuka antara menteri luar ASEAN dan rakan sejawat mereka dari Myanmar sejak 2021 yang berlangsung di Thailand pada Ahad.
Bagi mesyuarat di Manila itu, Jurucakap Hal Ehwal ASEAN bagi Jabatan Hal Ehwal Luar (DFA) Filipina, Dax Imperial berkata Myanmar yang akan diwakili oleh setiausaha tetap kementerian luarnya, tidak akan menyertai sesi perundingan tidak rasmi berkenaan.
"Ini (sesi perundingan tidak rasmi yang diperluas) merupakan mesyuarat yang amat penting minggu depan, khususnya berikutan mesyuarat yang baru sahaja berlangsung di Thailand. Hasil perbincangan di sana akan menjadi input kepada perbincangan menteri-menteri luar minggu depan," katanya pada sidang media.
"Apa yang sedang kami teliti ialah kemungkinan langkah seterusnya serta hala tuju selepas siri libat urus ini," katanya.
Thailand, satu daripada 11 negara anggota ASEAN, sebelum ini memaklumkan bahawa negara itu akan melaksanakan dasar "libat urus semula secara berperingkat" bagi menyokong penyertaan semula Myanmar dalam ASEAN, di samping menggalakkan kemajuan dalam pelaksanaan 5PC.
Sejak 2021, penyertaan Myanmar dalam mesyuarat ASEAN, khususnya pada peringkat menteri, menteri luar dan sidang kemuncak, dihadkan kepada wakil bukan politik.
Pada mesyuarat di Thailand, menteri-menteri luar ASEAN menegaskan bahawa 5PC kekal menjadi "rujukan utama" blok itu dalam menangani situasi di Myanmar.
-- BERNAMA-PNA
