Mohamad Tiba Di Manila Bagi Menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN

Datuk Seri Mohamad Hasan (tengah).
20/07/2026 07:21 PM

Daripada Muhammad Faiz Baharin

MANILA, 20 Julai (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan tiba di sini hari ini bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN ke-59 dan Pasca Persidangan Menteri-Menteri serta Mesyuarat-Mesyuarat berkaitan.

Mohamad tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino pada 4.15 petang waktu tempatan dan disambut Penolong Setiausaha dan Ketua Protokol Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina (DFA) Ariel Rodelas Penaranda.

Hadir sama Duta Besar Malaysia ke Filipina Datuk Abdul Malik Melvin Castelino Anthony.

Dalam kenyataan hari ini, Wisma Putra memaklumkan Mohamad akan mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat itu sehingga Khamis yang dijangka akan memberi tumpuan kepada kesan krisis di Asia Barat.

Wisma Putra memaklumkan beliau akan menyertai mesyuarat konsultasi tidak rasmi mengenai pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) berkaitan Myanmar, dengan jangkaan Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN akan membincangkan tindakan susulan terhadap syor daripada semakan dan keputusan pemimpin ASEAN lepas berhubung konflik serta situasi kemanusiaan di negara itu.

Mohamad juga dijadualkan menghadiri Perbincangan Suamuka antara Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN dengan wakil Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) dan Mesyuarat Suruhanjaya Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ). 

Penglibatan lain termasuk Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN Campur Tiga ke-27, Forum Serantau ASEAN ke-33 dan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri Sidang Kemuncak Asia Timur ke-16.

Selain itu, Mohamad dijadualkan menghadiri Persidangan Kerjasama Antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin kelima. 

Pada Rabu, Mohamad dan Menteri Luar China Wang Yi akan mempengerusikan Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN-China selaras dengan peranan Malaysia sebagai Negara Penyelaras bagi Hubungan Dialog ASEAN-China bagi tempoh 2024 hingga 2027.

Beliau turut dijadual menghadiri Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN dengan Rakan Dialog ASEAN iaitu Australia, China, Kanada, Kesatuan Eropah, India, Jepun, New Zealand, Republik Korea, Rusia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Di sela-sela Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN ke-59, Mohamad dijangka mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan rakan sejawat bagi membincangkan isu dua hala serta perkara-perkara berkepentingan bersama.

Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN ke-59 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN Filipina tahun ini dengan tema “Mengemudi Masa Depan Kita, Bersama”. 

-- BERNAMA