China, Thailand Komited Bina Komuniti Berkongsi Masa Depan Yang Makmur
BEIJING, 21 Julai (Bernama-CMG) -- China dan Thailand pada Selasa mengeluarkan kenyataan bersama bagi menegaskan komitmen kedua-dua negara untuk membina Komuniti Berkongsi Masa Depan China-Thailand yang Makmur.
Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul mengadakan lawatan rasmi ke China dari 16 hingga 20 Julai 2026 atas undangan Perdana Menteri China Li Qiang.
Anutin dalam rangka lawatan itu mengadakan pertemuan dengan Presiden China Xi Jinping, Perdana Menteri Li Qiang dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan Zhao Leji.
Selain itu, Anutin turut menghadiri Persidangan Kecerdasan Buatan Sedunia (WAIC) 2026 yang berlangsung di Shanghai.
Menurut kenyataan bersama itu, pemimpin kedua-dua negara menzahirkan rasa puas hati terhadap perkembangan positif hubungan China-Thailand yang dibina atas dasar saling percaya dan hormat-menghormati.
Kedua-dua pihak turut menegaskan komitmen untuk memelihara rangka kerjasama serantau yang terbuka dan inklusif, serta menyokong kepusatan ASEAN dalam landskap serantau yang sedang berkembang.
China dan Thailand juga akan bekerjasama membina komuniti bersama China-ASEAN yang damai, aman, makmur, indah dan bersahabat, sekali gus menyumbang kepada pembinaan Komuniti Berkongsi Nasib China-ASEAN yang lebih erat.
Thailand turut mengucapkan tahniah kepada China atas kejayaan menganjurkan WAIC 2026, selain mengalu-alukan cadangan Beijing mengenai penubuhan Pertubuhan Kerjasama Kecerdasan Buatan Dunia.
-- BERNAMA-CMG
