Menteri Luar ASEAN Suarakan Kebimbangan Serius Terhadap Perkembangan Di Asia Barat

21/07/2026 05:08 PM

MANILA, 21 Julai (Bernama-PNA) -- Menteri luar ASEAN menyuarakan "kebimbangan serius" terhadap menpertempuran yang kembali tercetus antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) di Asia Barat, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

Dalam kenyataan bersama, para menteri luar Asia Tenggara yang menghadiri sesi pleno Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-59 di Pasay City pada Selasa menggesa Iran dan AS supaya mengamalkan tahap kawalan diri yang maksimum serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan.

"Sudah tentu terdapat kebimbangan serius terhadap perkembangan di Asia Barat. Malah, jika diperhatikan, ini merupakan satu-satunya dokumen yang membabitkan geopolitik dalam perbincangan kami," kata Setiausaha Hal Ehwal Luar Ma. Theresa Lazaro dalam pertemuan ringkas dengan media selepas mesyuarat.

"Perkara ini begitu mendesak sehingga kami perlu mengeluarkan dokumen, iaitu kenyataan bersama, secepat mungkin," katanya.

Para menteri memberi amaran bahawa perkembangan itu "menjejaskan dengan serius usaha berterusan pengantara utama serta mengurangkan prospek penyelesaian secara aman menerusi dialog dan diplomasi."

"Kami menekankan kepentingan mengekalkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau, menjunjung undang-undang antarabangsa serta menggalakkan dialog dan diplomasi yang tulen dalam menangani konflik dan ketegangan, termasuk keperluan bagi menghentikan pertempuran secara menyeluruh dan serta-merta di semua medan di Asia Barat," menurut kenyataan bersama itu.

Para menteri berkata negara-negara perlu mengekalkan keselamatan maritim di Selat Hormuz serta menjunjung kebebasan pelayaran dan penerbangan melintasi selat yang digunakan bagi pelayaran antarabangsa selaras dengan undang-undang antarabangsa.

Mereka turut menyuarakan "kebimbangan mendalam terhadap sebarang langkah bersifat diskriminasi atau unilateral yang boleh menghalang atau menyekat kapal" yang melalui laluan itu.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan sehari sebelum pertemuan para menteri luar ASEAN dengan Setiausaha Negara AS Marco Rubio pada Persidangan Pasca Menteri-Menteri Luar ASEAN dengan AS yang dijadual berlangsung pada 22 Julai. 

Presiden AS Donald Trump sebelum ini mengisytiharkan bahawa gencatan senjata sementara antara AS dan Iran telah berakhir.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sejak itu menggesa semua pihak meningkatkan usaha diplomatik ke arah penyelesaian secara aman dan berkekalan, termasuk "pemulihan sepenuhnya hak serta kebebasan pelayaran antarabangsa di dalam dan sekitar Selat Hormuz."

-- BERNAMA-PNA