Malaysia Mahu Tingkat Kerjasama Dengan Australia Depani Cabaran Ekonomi Global- Mohamad Hasan

21/07/2026 05:36 PM

Daripada Muhammad Faiz Baharin

MANILA, 21 Julai (Bernama) -- Malaysia mahu terus meningkatkan kerjasama dalam sektor pelaburan dan perdagangan dengan Australia sebagai satu langkah ke hadapan dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi dunia ketika ini.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ia antara lain melibatkan jalinan kerjasama secara timbal balas yang berpotensi menguntungkan kedua-dua negara.

“Australia merupakan rakan negara kita, dan mempunyai hubungan yang amat baik termasuklah antara perniagaan dengan perniagaan dan rakyat dengan rakyat, jadi dalam keadaan tidak menentu kini, kita banyak bergantung antara satu sama lain.

“Buat masa ini, Malaysia banyak mengimport baja dan LNG (gas asli cecair) daripada Australia, manakala mereka banyak mengimport baja urea yang dibekalkan oleh Petronas (Petroliam Nasional Bhd), jadi kita sama-sama cari jalan untuk tingkatkan kerjasama kedua-dua negara ini,” katanya.

Mohamad berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari Australia Penny Wong di sela-sela Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN (AMM) ke-59 dan Pasca Persidangan Menteri-Menteri (PMC) serta Mesyuarat-Mesyuarat berkaitan di sini, hari ini.

Pertemuan yang berlangsung kira-kira 30 minit itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri (KLN) Tan Sri Amran Mohamed Zin, Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia KLN Datuk Zanariah Zainal Abidin dan Duta Besar Malaysia ke Filipina Datuk Abdul Malik Melvin Castelino Anthony.

Australia adalah rakan ekonomi yang penting bagi Malaysia dengan berada pada kedudukan ke-12 sebagai rakan dagang terbesar Malaysia pada 2025, merekodkan jumlah perdagangan dua hala bernilai RM78.63 bilion (USD18.38 bilion).

Selain jumlah perdagangan, kerjasama ini juga dibuktikan dengan tahap saling kebergantungan yang tinggi dalam sektor tenaga.

Berdasarkan data dua hala 2025, Australia membekalkan kira-kira 96 ​​peratus daripada import LNG Malaysia, yang berperanan penting untuk menyokong rangkaian gas di Semenanjung Malaysia serta pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.

Pada masa yang sama, Malaysia adalah pembekal utama bahan api kepada Australia, merangkumi kira-kira 17 peratus daripada jumlah import bahan api Australia. Aliran perdagangan ini adalah rantaian bekalan komersial yang telah kukuh dan bukannya dibuat secara sementara.

-- BERNAMA