Cuba Tegaskan Dialog Jalan Elak Konfrontasi

Duta Cuba ke Malaysia Yadira Ledesma Hernández
22/07/2026 10:49 AM

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Havana kekal komited terhadap dialog sebagai jalan menyelesaikan perbezaan dan mengelakkan konfrontasi ketika ketegangan dengan Washington kembali memuncak, menurut Duta Cuba ke Malaysia Yadira Ledesma Hernández.

Cuba menjadi tumpuan bulan ini susulan sokongan yang diterimanya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebelum Washington mengenakan sekatan baharu terhadap beberapa institusi negara itu.

Dalam kenyataan kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama, Ledesma berkata kerajaan Cuba mengalu-alukan sokongan 136 negara di PBB pada 7 Julai untuk mengadakan perbahasan mengenai “Keperluan Menamatkan Sekatan Amerika Syarikat terhadap Cuba”.

Beliau berkata kerajaan Cuba menyifatkan keputusan itu sebagai penolakan jelas masyarakat antarabangsa terhadap langkah sekatan unilateral, selain mencerminkan solidariti terhadap rakyat negara kepulauan Caribbean itu.

“Dalam perbahasan itu, seruan supaya perbezaan diselesaikan menerusi dialog, pencerobohan ketenteraan terhadap Cuba dielakkan dan ancaman penggunaan kekerasan ditolak mendapat sokongan meluas.

“Turut dikecam ialah pelaksanaan langkah paksaan itu di luar bidang kuasa negara yang mengenakannya, selain kesannya yang semakin buruk dalam  situasi semasa, khususnya sekatan terhadap sektor tenaga yang membawa kesan kemanusiaan serta menjejaskan perkhidmatan asas,” kata beliau. 

Ledesma berkata kerjasama antarabangsa yang diberikan Cuba kepada banyak negara membangun turut mendapat pengiktirafan.

“Seruan supaya Cuba dikeluarkan daripada ‘Senarai Negara Penaja Keganasan’ juga ditegaskan semula,” kata beliau, sambil memaklumkan ASEAN turut mengambil bahagian dalam perbahasan antarabangsa itu.

Beliau berkata ASEAN menegaskan bahawa pelaksanaan langkah paksaan unilateral terhadap mana-mana negara menjejaskan prinsip kesamarataan kedaulatan serta bercanggah dengan Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa.

“ASEAN turut menggesa dialog yang membina, sikap saling menghormati dan penggunaan saluran diplomasi,” kata beliau. 

Mengenai sekatan terbaharu Washington, Ledesma memetik pendirian kerajaan Cuba yang menyifatkan langkah itu sebagai “hukuman kolektif yang menjadi sebahagian daripada dasar tekanan maksimum terhadap Cuba, bertujuan menjerut ekonominya dan melemahkan sumber pendapatan negara itu.”

Pada 13 Julai, Washington mengumumkan sekatan terhadap 10 lagi entiti Cuba, khususnya yang terbabit dalam sektor strategik seperti pelancongan, bahan api, perdagangan luar dan pengangkutan maritim.

“Wakil pelbagai sektor di Cuba, termasuk pertubuhan masyarakat sivil seperti Persekutuan Wanita Cuba (FMC), memberi amaran bahawa pengukuhan sekatan akan terus memburukkan keadaan hidup rakyat Cuba,” katanya.

Memetik wawancara Presiden Cuba Miguel Díaz-Canel Bermúdez dengan "Russia Today" (RT) pada 20 Julai, Ledesma berkata pemimpin itu menegaskan bahawa Revolusi Cuba sentiasa melihat rundingan sebagai jalan untuk menyelesaikan perbezaan dua hala.

“Pendirian Havana yang mengutamakan dialog tanpa syarat, penghormatan terhadap kedaulatan dan penolakan terhadap ancaman penggunaan kekerasan sekali lagi mengetengahkan isu yang melangkaui pertikaian dua hala.

“Amerika Latin dan Caribbean perlu terus dipelihara sebagai rantau aman, manakala ketegangan geopolitik global tidak seharusnya menjadikan Caribbean medan konfrontasi baharu yang boleh membawa akibat tidak menentu,” kata beliau. 

-- BERNAMA