CoC Laut China Selatan Akan Dimuktamad Pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 - Mohamad Hasan

22/07/2026 03:02 PM

Daripada Muhammad Faiz Baharin

MANILA, 22 Julai (Bernama) -- Kod Tatalaku (CoC) berkaitan Laut China Selatan dijangka dimuktamadkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di Manila yang dijadual berlangsung pada Nov depan, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata CoC  yang berfungsi sebagai kerangka untuk memastikan perairan berkenaan kekal sebagai laluan bebas, selamat dan boleh digunakan semua pihak itu kini sedang melalui fasa perbincangan berkaitan beberapa perenggan penting yang perlu dipersetujui oleh semua negara terlibat.

“Kita akan usahakan yang terbaik kerana memuktamadkan perkara ini penting untuk semua negara di ASEAN, littoral states of ASEAN (negara-negara pesisir), yang mempunyai kepentingan masing-masing di Laut China Selatan. Bila ada CoC ini, kita akan dapat menggunakan platform ASEAN jika ada apa-apa berlaku di kawasan berkenaan.

“CoC ini akan dijadikan sebagai dokumen panduan bagi negara-negara ASEAN, untuk negara-negara yang menggunakan Laut China Selatan. Kebebasan pelayaran, kebebasan penerbangan dan yang lain-lain,” katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

Mohamad berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan secara bersama Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN-China bersama rakan sejawatnya Wang Yi, selaras dengan peranan Malaysia sebagai Negara Penyelaras bagi Hubungan Dialog ASEAN-China bagi tempoh 2024–2027.

Persidangan berkenaan diadakan bersempena dengan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN (AMM) ke-59 serta Mesyuarat-Mesyuarat berkaitan, yang diadakan sempena Kepengerusian ASEAN 2026 oleh Filipina di bawah tema “Mengemudi Masa Depan Kita, Bersama”.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata CoC itu adalah berteraskan kepada Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.

“Turut dibincangkan hari ini ialah kaedah untuk memastikan supaya perdagangan antara ASEAN dan China diperkemaskan, termasuklah menerusi langkah menambah baik Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0 (ACFTA 3.0).

“Kita akan tingkatkan protokol FTA (perjanjian perdagangan bebas) tersebut supaya kita dapat lebih memperkemaskan lagi urusan dagang antara ASEAN-China, kerana FTA yang kita tandatangani dulu itu dah lama, dan banyak perkara baharu yang telah pun wujud, terutamanya teknologi dan juga urusan perdagangan baharu,” katanya.

Selain itu, katanya, turut dibincangkan ialah bagaimana China boleh memainkan peranan untuk membantu ASEAN menangani isu di Myanmar dengan lebih baik.

“Kita tidak mahu banyak sangat campur tangan daripada luar. Kita ada cara ASEAN sendiri, maka apa sahaja bantuan yang nak dilakukan untuk memudah cara kita dapat mengurus masalah di Myanmar itu mestilah melalui platform ASEAN, itu kita mahu,” katanya.

Mohamad berkata ASEAN juga meminta China untuk terus memberikan sokongan kepada blok serantau itu dalam aspek pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta pembangunan berkaitan.

-- BERNAMA