Rubio Tegaskan Semula Komitmen AS Terhadap ASEAN
WASHINGTON, 22 Julai (Bernama-Anadolu) -- Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio pada Rabu menegaskan semula komitmen Washington untuk memperkukuh perkongsiannya dengan ASEAN, lapor Anadolu Ajansi.
"Kami bersama ASEAN 100 peratus. Ini adalah mekanisme utama bagi kami berinteraksi dengan rantau ini dan anda akan terus melihat komitmen kami terhadap ASEAN pada tahap tertinggi," kata Rubio pada Pasca Persidangan Menteri-Menteri (PMC) ASEAN-AS di Manila, Filipina.
Beliau menekankan pelaburan AS di Asia Tenggara sambil menyatakan Washington menyediakan pelaburan strategik berjumlah US$2.5 bilion bagi memperkukuh kerjasama ekonomi dan serantau.
"Kami melabur kerana pembangunan ASEAN juga adalah demi kepentingan AS," katanya.
Rubio berkata perkongsian dengan negara anggota ASEAN merupakan perkara yang mempunyai kepentingan nasional bagi Washington, sambil menekankan bahawa AS berhasrat untuk kekal sebagai rakan kongsi jangka panjang di rantau ini.
"Saya sangat percaya bahawa masa depan dan kisah abad ke-21 akan ditulis di rantau ini serta ditentukan oleh perkembangan peristiwa di sini," katanya.
Beliau berkata keselamatan dan kemakmuran AS serta Asia Tenggara saling berkait rapat.
"Tatkala ASEAN membangunkan ekonomi digitalnya, mempelbagaikan sumber tenaga dan membina rantaian bekalan yang lebih selamat, AS mahu menawarkan penyelesaian kepada isu-isu serantau ini. Kami mahu menjadi antara rakan kongsi utama dan paling dipercayai dalam setiap usaha ini.
"Kami komited untuk menyokong keselamatan di rantau ini menerusi bantuan bernilai hampir US$130 juta kepada negara-negara ASEAN bagi kerja-kerja pembersihan periuk api," katanya.
Sambil menegaskan bahawa AS tetap bersama ASEAN, Rubio berkata Washington bekerjasama dengan blok itu untuk memperkukuh ekonomi dan komuniti menerusi kerjasama jangka panjang.
Beliau berkata matlamatnya adalah untuk memastikan AS kekal sebagai "rakan kongsi yang boleh dipercayai dan berkekalan" kepada ASEAN "bagi tempoh 50 tahun akan datang dan seterusnya."
-- BERNAMA
