AKM 1998 Kekal Relevan Hadapi Perkembangan Teknologi Baharu

22/07/2026 07:55 PM

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) kekal relevan sebagai perundangan yang bersifat neutral serta mampu menampung perkembangan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI).

Ahli panel pada sesi dialog Kerjasama Kawal Selia Serantau dan Global hari ini berkata rangka kerja akta berkenaan yang bersifat neutral teknologi serta fleksibiliti yang terbina dalam akta itu membolehkannya terus relevan walaupun landskap teknologi berkembang dengan pantas.

Ketua Perancangan Strategik dan Keahlian merangkap Penasihat Khas kepada Setiausaha Agung Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) Sulyna Abdullah berkata kawal selia teknologi baharu pada masa hadapan perlu bersifat tangkas, mudah disesuaikan serta berpandangan jauh.

Ketua Perancangan Strategik dan Keahlian merangkap Penasihat Khas kepada Setiausaha Agung Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) Sulyna Abdullah

"Bagi kawal selia teknologi baharu pada masa hadapan, kita mempunyai apa yang dipanggil tiga A. Kebanyakan orang hanya menekankan dua daripadanya iaitu keperluan supaya kawal selia bersifat tangkas (agile) dan mudah disesuaikan (adaptable), namun ia juga perlu bersifat antisipatif (anticipatory).

“Kita perlu menjangka apa bakal berlaku dan ketiga-tiga elemen itu telah diterapkan dalam AKM 1998. Justeru, akta ini tidak memerlukan pindaan besar, sebaliknya hanya penambahbaikan atau pelarasan kecil apabila perlu. Malah, saya berani mengatakan bahawa dalam konteks AI, AKM 1998 berkemungkinan sudah mencakupi aspek itu,” katanya.

Penasihat Undang-Undang Kementerian Komunikasi Farhati Ahmad Tajuddin berkata AKM 1998 digubal sebagai perundangan bersifat neutral teknologi dengan fleksibiliti yang mencukupi bagi menampung perkembangan teknologi pada masa hadapan.

Penasihat Undang-Undang Kementerian Komunikasi Farhati Ahmad Tajuddin

“AKM 1998 digubal sejak 1998, namun ia sebenarnya merupakan perundangan bersifat neutral teknologi. Sebagai contoh, takrif perkhidmatan aplikasi tidak mengehadkan sesuatu perkhidmatan kepada rangkaian tertentu, sebaliknya merangkumi perkhidmatan yang disediakan melalui satu atau lebih perkhidmatan rangkaian.

"Justeru, akta ini mampu menampung takrifan dan mekanisme baharu pada masa hadapan. Dari persepktif perundangan, kita mempunyai akta induk dan perundangan subsidiari dengan punca kuasa bagi pelaksanaannya sentiasa diperuntukkan di bawah akta induk,” katanya.

Sesi dialog itu dikendalikan Penasihat Kanan (Operasi) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Datuk Zurkarnain Mohd Yasin bersempena dengan Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 yang berlangsung selama dua hari dan berakhir hari ini.

Dalam perkembangan lain, Sulyna berkata walaupun rangka kerja kawal selia setiap negara perlu mengambil kira budaya, tradisi dan keutamaan nasional, pada masa sama kekal serasi dengan rangka kerja kawal selia di peringkat serantau dan global.

Beliau berkata langkah kawal selia perlu mengutamakan kepentingan negara, khususnya dalam bidang yang sedang berkembang seperti AI dan keselamatan siber, namun menegaskan bahawa negara tidak boleh bergerak secara bersendirian dalam mendepani cabaran digital.

Sementara itu, Pengarah Kanan Hal Ehwal Serantau (Asia-Pasifik) Internet Society (ISOC) Noelle de Guzman berkata usaha mengekalkan Internet terbuka bukan bermaksud membenarkan aktiviti dalam talian tanpa kawalan, sebaliknya memastikan Internet terus menjadi platform yang memacu inovasi, pembangunan dan pemerkasaan masyarakat.

Beliau berkata langkah perlindungan tekninal seperti protokol Transport Layer Security (TLS) membantu mengekalkan keterbukaan Internet menerusi penyulitan komunikasi, pengesahan kesahihan laman sesawang dan memastikan urus niaga dalam talian dilaksanakan dengan selamat.

Menurut Pegawai Kanan Bahagian Ekonomi Digital Sekretariat ASEAN Hazremi Hamid, kerjasama kawal selia serantau yang lebih erat semakin diperlukan berikutan perkhidmatan digital kini merentasi sempadan negara.

Beliau berkata rundingan mengenai Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), iaitu perjanjian ekonomi digital serantau pertama di dunia yang mengikat dari segi perundangan, telah dimuktamadkan dan perjanjian itu dijangka dimeterai pada Sidang Kemuncak ASEAN di Filipina pada November ini.

Hazremi berkata perjanjian itu akan memperkukuh kerjasama digital rentas sempadan tanpa menjejaskan kedaulatan negara menerusi penyelarasan strategi serantau dengan dasar domestik, sambil menambah bahawa ASEAN akan terus mengamalkan pendekatan berkecuali dan berasaskan konsensus dalam menghadapi persaingan geopolitik yang semakin meningkat dalam ruang digital.

IRC 2026 anjuran MCMC, merupakan paltform global yang menghimpunkan badan kawal selia, pemimpin industri dan pakar bagi membincangkan isu ekonomi digital serta kawal selia dalam sektor komunikasi dan multimedia.

-- BERNAMA