Manila Anjur EAS Ke-16, Seru Perpaduan Di Tengah Pergolakan Global

Maria Theresa P. lazaro
23/07/2026 06:56 PM

ISTANBUL, 23 Julai (Bernama-Anadolu) -- Filipina pada Khamis menganjurkan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-16 dengan menggesa negara anggota memperkukuh perpaduan dan kerjasama ketika rantau itu berdepan ketegangan geopolitik yang semakin memuncak, pertikaian perdagangan serta cabaran keselamatan baharu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Ketika membuka mesyuarat itu, Setiausaha Luar Filipina Ma Theresa P. Lazaro berkata EAS kekal sebagai platform penting bagi dialog serantau ketika tatanan antarabangsa sedang dibentuk semula oleh peperangan, ketidaktentuan ekonomi, bencana berkaitan iklim dan perubahan teknologi yang pesat.

“Amat penting untuk kita terus bersatu dan bekerjasama kerana cabaran yang dihadapi ketika ini menuntut kita berbuat demikian,” kata Lazaro kepada menteri dari negara peserta EAS.

Beliau mengingatkan bahawa EAS ditubuhkan dua dekad lepas berasaskan prinsip "kesaksamaan, perkongsian, perundingan dan konsensus" bagi menggalakkan keamanan, keselamatan dan kemakmuran di seluruh Indo-Pasifik dan kawasan lain.

Lazaro berkata beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan gangguan yang belum pernah berlaku sebelum ini, termasuk pandemik COVID-19, konflik di beberapa rantau, perang tarif tahun lepas, krisis Asia Barat, bencana alam yang semakin buruk serta peluang dan risiko yang dibawa oleh teknologi dwiguna baharu.

"Bagaimana kita menangani cabaran hari ini akan menentukan sejauh mana kita mampu menghadapinya pada masa hadapan," katanya sambil menyifatkan EAS sebagai platform bagi "dialog terbuka, pertukaran pandangan secara terus terang dan kerjasama praktikal" mengenai isu strategik, politik dan ekonomi.

Menyifatkan EAS sebagai "forum terbuka, inklusif, telus dan berpandangan ke luar", Lazaro berkata ia memikul tanggungjawab unik untuk membantu membentuk tatanan serantau yang stabil dan boleh diramal, yang mewakili hampir separuh daripada penduduk dunia.

Mesyuarat yang diadakan di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-59 di Manila itu menghimpunkan 11 negara anggota ASEAN dan lapan rakan dialog iaitu Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat (AS) bagi membincangkan keselamatan serantau, kerjasama ekonomi serta cabaran strategik.

Sebelum EAS, Manila pada Khamis menganjurkan Mesyuarat Menteri-Menteri Forum Serantau ASEAN (ARF) ke-33 yang menghimpunkan wakil dari 27 negara.

Menteri luar dan delegasi dari negara anggota termasuk AS, China, Rusia, Jepun, Korea Selatan, India dan Pakistan, selain Kesatuan Eropah (EU), menghadiri mesyuarat itu bagi membincangkan cabaran serantau dan menggalakkan usaha bersama untuk memperkukuh keamanan serta keselamatan di seluruh rantau Asia Pasifik.

Setiausaha Luar Filipina Lazaro membuka mesyuarat itu selaku Pengerusi ARF.

Dalam ucapan pembukaannya, Lazaro berkata ARF kekal "amat diperlukan" sebagai wadah dialog dan kerjasama politik serta keselamatan dalam kalangan negara anggota, bukannya konfrontasi.

Beliau menggesa negara anggota memperkukuh kerjasama politik dan keselamatan dalam menangani cabaran serantau, dengan memberi tumpuan khusus kepada usaha menggalakkan keamanan, kestabilan dan kerjasama bersama menerusi dialog serta diplomasi yang berterusan.

Lazaro berkata forum itu akan memberi tumpuan kepada peningkatan keselamatan maritim dan kerjasama maritim, di samping memperkukuh kerjasama dalam menangani cabaran tradisional dan bukan tradisional seperti keganasan serta keselamatan iklim.

Ditubuhkan pada 1994, ARF berperanan sebagai platform utama bagi dialog dan kerjasama mengenai isu keselamatan di Asia Pasifik.

-- BERNAMA-ANADOLU