AS Tegaskan Kebebasan Pelayaran Penting Bagi Perdagangan, Keselamatan Global

Vessels at the Strait of Hormuz, as seen from Musandam, Oman, July 23, 2026. REUTERS/Stringer
24/07/2026 01:29 PM

Oleh Nik Nurfaqih Nik Will

JAKARTA, 24 Julai (Bernama) -- Amerika Syarikat (AS) menegaskan semula komitmennya untuk mempertahankan kebebasan pelayaran, yang disifatkan penting bagi keselamatan serantau dan global, selain memastikan kelancaran perdagangan dunia.

Duta AS ke ASEAN Kevin Kim berkata sebagai sebuah kuasa maritim, AS pada asasnya percaya kebebasan pelayaran merupakan prinsip asas yang perlu dipelihara dan akan terus bekerjasama dengan semua negara bagi memastikan laluan perairan antarabangsa kekal terbuka.

Beliau berkata prinsip yang sama turut terpakai di Laut China Selatan memandangkan sebahagian besar ekonomi dunia bergantung pada kebebasan akses ke laluan perairan itu bagi menyokong pertumbuhan ekonomi serantau dan global.

"Seperti yang ditegaskan Setiausaha Negara (Marco Rubio), isu ini bukan sekadar berkaitan apa yang berlaku di Selat Hormuz.

“Apabila prinsip asas itu dicabar, ekonomi global turut terancam, begitu juga peraturan yang menjadi asas kepada perdagangan dan aktiviti komersial antarabangsa sejak 150 tahun lalu.

"Kita tidak boleh membiarkan perkara itu berlaku," kata beliau pada sidang media maya mengenai hasil penyertaan AS dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-59 dan mesyuarat berkaitan di Manila, Filipina, pada Rabu.

Marco Rubio mewakili Washington pada mesyuarat berkenaan.

Mengenai Laut China Selatan, Kim berkata Washington menghormati pendekatan ASEAN yang berasaskan konsensus serta rundingan berterusan antara ASEAN dan China bagi memuktamadkan Kod Tatalaku (COC).

Beliau berkata sebarang perjanjian yang dicapai perlu selaras dengan undang-undang antarabangsa dan tidak boleh menjejaskan hak atau kepentingan mana-mana pihak ketiga.

AS akan terus beroperasi mengikut undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS), kata beliau.

-- BERNAMA