Perkongsian Singapura-Luxembourg Bantu Perkukuh Hubungan ASEAN-EU - PM Wong

Kredit : FB Lawrence Wong
07/09/2026 08:38 PM

Oleh Anas Abu Hassan

SINGAPURA, 7 Sept (Bernama) -- Perkongsian erat antara Singapura dan Luxembourg dapat membantu memperkukuh hubungan antara ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU) apabila Singapura mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN tahun depan, kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada Isnin.

Berucap pada majlis makan tengah hari bagi meraikan Perdana Menteri Luxembourg Luc Frieden sempena lawatan rasmi sulungnya ke Singapura, Wong berkata kedua-dua pemimpin bersetuju mengenai kepentingan mengukuhkan hubungan ASEAN-EU.

Beliau berkata Luxembourg merupakan penyokong teguh integrasi Eropah, manakala Singapura sejak sekian lama menyokong ASEAN yang lebih kukuh dan bersepadu.

"Saya percaya kita boleh bekerjasama untuk merapatkan kedua-dua rantau kita, sekali gus memperkukuh hubungan antara ASEAN dan EU," katanya.

Wong berkata Singapura dan Luxembourg turut berhasrat memperdalam kerjasama dalam teknologi baharu muncul dan kritikal, termasuk teknologi kuantum, kecerdasan buatan (AI), angkasa lepas dan komunikasi satelit.

Beliau berkata Luxembourg merupakan pelabur EU terbesar di Singapura, manakala Singapura merupakan destinasi pelaburan kedua terbesar Luxembourg dalam blok itu.

"Kita dapat membina perkongsian yang begitu luas kerana pada asasnya kita melihat dunia dari perspektif yang sama.

"Berdasarkan pengalaman, kita tahu bahawa semua negara, khususnya negara kecil seperti kita, berkembang maju apabila dunia kekal terbuka dan saling berhubung; apabila negara berdagang dan bekerjasama antara satu sama lain; serta apabila peraturan antarabangsa dihormati dan ditegakkan," katanya.

Frieden dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Singapura dari 6 hingga 8 Sept dan dijadual menyampaikan "Syarahan Singapura ke-48" anjuran ISEAS-Yusof Ishak Institute pada Selasa.

-- BERNAMA