Ekosistem TVET UniMAP Bawa Pembelajaran Lebih Dekat Kepada Keperluan Industri

07/09/2026 03:12 PM

Daripada Shuhaida Mohd Said

DA NANG, 7 Sept (Bernama) -- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mempunyai ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang mampu membawa pembelajaran lebih dekat kepada keperluan industri. 

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor UniMAP bertitah pusat TVET UniMAP menawarkan 54 kursus, enam pensijilan profesional, sembilan makmal industri dan tiga teaching factory

"Pusat itu mempunyai tujuh tenaga pengajar bertauliah dan menawarkan latihan yang merangkumi latihan industri, pembelajaran berasaskan kerja,kelayakan mikro. persijilan profesional serta peningkatan kemahiran dan pemahiran semula.

"Tiga teaching factory memberikan peluang kepada pelajar dan peserta latihan untuk mengalami pembelajaran yang lebih hampir dengan persekitaran industri sebenar," titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa berkenan menerima menghadap Timbalan Konsul (Pendidikan), Konsulat Jeneral Malaysia di Ho Chi Minh City, Koh Bee Ching sempena International Leadership Mobility (ILM) UniMAP di sini, hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah kekuatan teaching factory adalah ia mampu menjadikan kampus sebagai ruang simulasi industri. 

"Pelajar bukan sekadar mengetahui teori malah berpeluang membangunkan kemahiran praktikal dan memahami aliran kerja sebenar. 

"Pendekatan ini melengkapkan kekuatan UniMAP sebagai universiti teknikal dan membantu membina graduan yang sedia bekerja serta sedia masa depan," titah baginda.

Sementara itu Koh berkata UniMAP dengan kekuatan teknikal dan TVET mempunyai potensi besar untuk diperluas melalui jaringan universiti dan industri pada peringkat antarabangsa.

"UniMAP mempunyai kekuatan tersendiri sebagai universiti teknikal, khususnya dalam bidang kejuruteraan, teknologi dan TVET yang dekat dengan keperluan industri. 

"Kekuatan ini mempunyai potensi besar untuk diperluas melalui jaringan universiti dan industri di Vietnam serta rantau ASEAN," kata atase pendidikan itu.

-- BERNAMA