ASEAN Bakal Lancar Agenda Kesihatan Strategik 2026-2030 Pada AHMM Ke-17

Kredit: Laman Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia
07/09/2026 09:55 PM

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Agenda Kesihatan Strategik ASEAN (ASHA) 2026-2030 akan dilancarkan sebagai pelan hala tuju utama kesihatan serantau bersempena dengan Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN (AHMM) ke-17 dan Mesyuarat Berkaitan yang bermula hari ini hingga 11 Sept, di sini.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelancaran agenda itu adalah antara tumpuan strategik persidangan lima hari berkenaan yang melakar sejarah tersendiri selepas kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah 22 tahun lepas, pada 2004.

Menurut KKM, tumpuan strategik lain AHMM ke-17 termasuklah pengukuhan kesiapsiagaan pandemik menerusi pengoperasian Pusat Kecemasan Kesihatan Awam dan Penyakit Kemunculan Baharu ASEAN (ACPHEED).

“Selain itu, strategi bersepadu akan dirangka bagi menangani ancaman beban dwipenyakit, iaitu penyakit berjangkit dan penyakit tidak berjangkit (NCD) di rantau ini,” menurut kenyataan itu.

Persidangan berkenaan membuka tirai secara rasminya hari ini menerusi Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Kesihatan (SOM), sebelum acara kemuncak yang melibatkan menteri-menteri kesihatan ASEAN bermula pada 9 Sept.

Membawa tema “Healthy ASEAN: Together Towards Equitable, Future-Ready Health Systems, persidangan dwitahunan itu diterajui oleh Malaysia selaku pengerusi dengan Myanmar sebagai naib pengerusi.

Menurut KKM, penyertaan kali ini menandakan fasa baharu diplomasi kesihatan negara yang beralih daripada sekadar penggubalan dasar kepada penterjemahan tindakan yang membawa hasil nyata.

“Sepanjang lima hari penganjuran, perbincangan akan tertumpu pada pembinaan sistem kesihatan serantau yang saksama dan berdaya tahan bersama-sama Rakan Dialog Antarabangsa serta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” menurut kenyataan itu.

KKM memaklumkan kepimpinan intelektual Malaysia di persada serantau turut dizahirkan melalui penganjuran beberapa acara sampingan tematik di sela-sela persidangan bagi memperincikan pelbagai isu kesihatan serantau.

Isu itu termasuklah berkenaan penyakit jarang jumpa, Inisiatif Kesihatan Mata (MySPECS), Penyelidikan Inisiatif Ubat-Ubatan untuk Penyakit Terabai (DNDi), Inisiatif Kesihatan Paru-Paru, Behavioural Insights, serta inisiatif Kawal Selia Peranti Perubatan Serantau.

Menurut KKM, penganjuran persidangan kali ini juga melakar sejarah menerusi pelaksanaan Mesyuarat Sulung Menteri Kesihatan ASEAN–Amerika Syarikat (AS) dan ASEAN–Jepun.

Platform diplomasi antarabangsa itu turut dimanfaatkan sepenuhnya menerusi mesyuarat peringkat menteri bersama dengan rakan dialog, iaitu China, Korea Selatan dan WHO bagi memperluas kerjasama teknikal serta pelaburan kesihatan serantau.

“Kesemua inisiatif dan kerangka dasar yang dibincangkan mencerminkan komitmen teguh Malaysia di bawah kerangka Malaysia MADANI, serta muafakat negara anggota ASEAN dalam memastikan perkhidmatan kesihatan awam kekal inklusif dan mampan,” menurut kenyataan itu.

KKM memaklumkan resolusi persidangan berkenaan disasar untuk diterjemahkan kepada tindakan nyata yang memberikan impak langsung kepada kesejahteraan lebih 670 juta rakyat di rantau ASEAN.

-- BERNAMA