Majlis Halal ASEAN Dicadang Dilancarkan Di Malaysia Pada September 2027

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Halal 20 di Jakarta, hari ini.
18/09/2026 03:33 PM

Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil

JAKARTA, 18 Sept (Bernama) -- Malaysia mencadangkan penubuhan dan pelancaran rasmi Majlis Halal ASEAN di samping bersedia untuk berkhidmat sebagai sekretariat majlis itu, tertakluk persetujuan negara anggota, serta mencadangkan Indonesia sebagai pengerusi sulungnya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata negara juga mencadangkan penubuhan dan pelancaran rasmi itu dilaksanakan di Malaysia pada September 2027, bersempena dengan Bulan Halal Kebangsaan, sebagai sebahagian usaha untuk merealisasikan idea majlis halal serantau itu sebagai institusi yang berfungsi.

“Malaysia dan Indonesia mengemukakan idea ini buat kali pertama tahun lepas. Hari ini, saya yakin sudah sampai masanya untuk beralih daripada perbincangan kepada institusi,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Sidang Kemuncak Halal 20 (H20) kelima di sini hari ini.

Majlis Halal ASEAN kali pertama dicadangkan oleh Ahmad Zahid semasa meja bulat industri halal Malaysia-Indonesia dan pertemuannya dengan Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka di Jakarta pada April 2025, dengan kedua-dua negara kemudiannya bersetuju pada Mei tahun itu untuk bersama-sama menerajui pembentukannya.

Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH), berkata cadangan itu telah dikemukakan kepada Sekretariat ASEAN dan seterusnya akan dibawa kepada Sidang Kemuncak ASEAN di Manila untuk pengesahan.

Beliau berkata ASEAN tidak boleh menunggu lebih lama kerana ekonomi halal sedang berkembang pesat, dan pasaran tidak akan menunggu sehingga rantau ini bersedia untuk menyusun dan menyelaraskan usaha bersama.

“Dalam tempoh sekarang hingga ketika itu, kita mesti menetapkan mandat, tadbir urus dan keberhasilan pertama supaya Majlis Halal ASEAN bersedia untuk bertindak sejak hari pertama,” katanya.

Beliau juga berpandangan Majlis Halal ASEAN sebagai asas penting ke arah cadangan penubuhan Majlis Pembangunan Halal Dunia, dengan perbincangan lanjut akan diadakan semasa Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) yang akan berlangsung di Kuala Lumpur akhir bulan ini.

Mengenai keseluruhan ekonomi halal, Ahmad Zahid berkata perbelanjaan pengguna Islam merentas enam sektor utama mencecah USD2.6 trilion (USD1 = RM4.09) pada 2024 dan diunjurkan meningkat kepada sekitar USD3.56 trilion menjelang 2029, dengan makanan halal sahaja menyumbang lebih USD1.5 trilion dari segi perbelanjaan.

“ASEAN berada pada kedudukan yang sangat baik untuk memanfaatkan pertumbuhan ini. Berasaskan lebih 250 juta pengguna halal, kita sudah mempunyai skala, industri dan keupayaan untuk menjadi kuasa utama ekonomi halal global.

“Namun, kelebihan kita tidak sentiasa diselaraskan dengan berkesan seperti yang sepatutnya. Perbezaan piawaian, pensijilan dan akreditasi terus menimbulkan cabaran, manakala perniagaan masih mengalami masalah pertindihan serta halangan dalam pasaran,” katanya.

Beliau berkata persoalannya bukan lagi sama ada permintaan itu wujud atau sebaliknya namun sama ada rantau ini cukup terselaras untuk memanfaatkan pertumbuhan tersebut secara bersama.

Ahmad Zahid tiba di Jakarta semalam bagi lawatan kerja empat hari atas jemputan Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) Indonesia bersempena dengan sidang kemuncak tersebut.

-- BERNAMA