Belanjawan 2027: Bantu Usahawan Wanita Tingkat Pengeluaran, Tembus Pasaran ASEAN – WAWASANITA
Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Bantuan kepada usahawan wanita menerusi Belanjawan 2027 perlu memberi tumpuan kepada peningkatan kapasiti pengeluaran dan peluasan akses pasaran bagi membolehkan perniagaan mereka berkembang di dalam negara serta menembusi pasaran ASEAN.
Penasihat Kehormat Persatuan Usahawan Wawasan Wanita Malaysia (WAWASANITA) Datin Dr Hartini Osman berkata bantuan pembiayaan, latihan dan pembangunan perniagaan mampu membantu usahawan wanita beralih daripada sekadar mengekalkan operasi kepada meningkatkan pengeluaran serta menembusi pasaran antarabangsa.
Beliau memberi contoh bagaimana bantuan bersesuaian boleh membantu seorang usahawan meningkatkan pengeluaran daripada 100 produk sehari yang dibungkus secara manual kepada 1,000 pek sehari.
“Kami sentiasa mengalu-alukan usaha memperkasakan wanita, termasuk membantu mereka mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih besar,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif baru-baru ini.
Menerusi Belanjawan 2027, sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi Program Kasih Ibu Tunggal (KasihnITa) untuk memperkasa golongan ibu tunggal ke arah kesejahteraan dan kemandirian yang lebih baik, selain Program Kemahiran Penjanaan Pendapatan (KIRANA) yang menyediakan latihan, geran peralatan dan bimbingan pemasaran digital.
Mengulas bantuan kepada ibu tunggal, Hartini berkata agensi pelaksana perlu menilai perkembangan penerima bantuan sedia ada bagi mengenal pasti keperluan mereka untuk memperkukuh dan mengembangkan perniagaan.
“Adakah mereka berjaya meneruskan perniagaan? Apakah yang diperlukan untuk menambah baik perniagaan mereka?” katanya.
Hartini, yang juga Presiden Global G100 bagi 2026, berkata sokongan kepada usahawan wanita perlu merangkumi pembiayaan, pembangunan kepimpinan, latihan keusahawanan serta akses kepada pasaran domestik dan antarabangsa.
Beliau berkata usaha mengembangkan perniagaan perlu mengambil kira keupayaan pengeluaran usahawan serta peluang memasarkan produk mereka.
“Bagaimana kita dapat memastikan produk mereka bukan sahaja dipasarkan di Malaysia, malah turut menembusi pasaran ASEAN?” katanya.
Beliau turut menggesa penyelarasan lebih erat antara agensi yang membantu golongan wanita, khususnya ibu tunggal, bagi memastikan program saling melengkapi dan bantuan turut disalurkan kepada mereka yang belum pernah mendapat manfaat.
“Golongan yang belum berpeluang menerima bantuan perlu menjadi kumpulan sasaran,” katanya.
Menurut beliau, penilaian bersama terhadap program sedia ada dapat mengelakkan pertindihan bantuan serta membantu agensi mengenal pasti bentuk sokongan yang diperlukan mengikut tahap perkembangan perniagaan.
Hartini turut menekankan kepentingan kerjasama antara agensi kerajaan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memperkukuh program pemerkasaan ekonomi wanita.
Beliau berkata agensi kerajaan perlu berinteraksi secara terbuka dengan usahawan dan organisasi berkaitan bagi memahami cabaran yang dihadapi serta merangka penyelesaian praktikal, manakala NGO perlu menumpukan perhatian kepada bidang kepakaran masing-masing dengan sokongan kerajaan bagi meningkatkan keupayaan mereka membantu usahawan.
Hartini berharap sokongan menyeluruh meliputi pembiayaan, pembangunan kemahiran, peluasan perniagaan dan akses pasaran dapat membantu lebih ramai usahawan wanita mengembangkan perniagaan daripada peringkat tempatan ke pasaran global.
-- BERNAMA
