Kesepakatan ASEAN Penting Dalam Rundingan COC Dengan China

Keadaan cuaca mendung dan hujan di beberapa kawasan di sekitar pantai dan perairan Laut China Selatan ketika tinjauan. Kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan RM10 juta untuk digunakan kerajaan negeri dan agensi tindak balas terlibat dalam menangani impak Monsun Barat Daya (MBD) yang bermula sejak 17 Mei lepas. Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan peruntukan di bawah Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) dikelola agensi itu disediakan bagi membolehkan pengurusan dan pengoperasian berkesan dalam menangani impak MBD.
16/10/2026 02:48 PM

Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- ASEAN perlu memastikan kesepakatan dalaman dengan menyelesaikan sebarang perbezaan dan menyelaraskan kedudukan yang kolektif sebelum berunding dengan China mengenai Tatakelakuan Laut China Selatan (COC), kata pakar kajian ASEAN.

Dr Tang Siew Mun berkata penyelarasan yang lebih kukuh dan suara yang bersatu boleh memberikan kelebihan lebih besar kepada ASEAN sambil mengekalkan pemusatannya dalam rundingan.

Dr Tang Siew Mun (kanan)

“Jadi, jika kita ingin mengekalkan pemusatan ASEAN, satu cara adalah meyakinkan rakan-rakan China kita bahawa mengadakan kaukus ASEAN sebelum proses rundingan ASEAN-China bukanlah satu cadangan bersifat anti-China.

“Perbincangan (dalaman ASEAN) ini akan membolehkan negara-negara anggota menyelaraskan pendirian mereka, menyelesaikan perbezaan dan bersetuju dengan pendekatan bersama supaya mereka boleh memasuki pertemuan dengan China dengan draf yang bersih, titik perbincangan yang jelas dan kedudukan yang bersatu,” katanya semasa perbincangan panel pada Persidangan Laut China Selatan MIMA kesembilan 2026, yang diadakan di sini, minggu ini.

Bagaimanapun, Tang yang juga bekas pengarah di Direktorat Politik dan Keselamatan Sekretariat ASEAN berkata gabungan itu tidak boleh memaksa kedudukannya ke atas China, kerana COC yang mampan dan berkesan perlu adil dan boleh dilaksanakan untuk kedua-dua pihak.

ASEAN dan China kini dalam rundingan COC bertujuan mewujudkan rangka kerja bagi mengurus ketegangan dan membimbing tingkah laku di Laut China Selatan.

Ia berdasarkan Deklarasi 2002 mengenai Tatalaku Pihak di Laut China Selatan (DOC), yang menggalakkan penyelesaian pertikaian secara aman, membina keyakinan dan kerjasama maritim, selaras  dengan  undang-undang antarabangsa, khususnya Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS). 

Mengenai jangkaan untuk memuktamadkan COC menjelang akhir tahun, Tang menekankan bahawa menandatangani perjanjian tidak seharusnya dilakukan secara automatik tanpa meneliti kandungannya dan kompromi yang terlibat.

Beliau juga berpendapat bahawa ASEAN harus menilai semula proses itu jika perjanjian masih di luar jangkauan pada penghujung 2026, termasuk sama ada rundingan harus diteruskan atau menamatkannya menerusi cara diplomatik, jika ia tidak lagi dapat dilaksanakan.

Laut China Selatan, laluan air yang kaya sumber dan penting secara strategik, kekal sebagai titik fokus tuntutan maritim yang bertindih melibatkan Brunei, Malaysia, Filipina Vietnam dan China.

-- BERNAMA