Empat Maut Dalam Kebakaran Hutan Di Taman Negara Gunung Bromo, Indonesia
JAKARTA, 16 Okt (Bernama-AP) -- Empat orang maut manakala dua lagi melecur teruk selepas terperangkap dalam asap tebal dan api yang merebak dengan pantas ketika berusaha memadamkan kebakaran hutan di sebuah taman negara di Pulau Jawa, Indonesia, menurut pegawai pada Jumaat, lapor Associated Press (AP).
Kebakaran itu tercetus sejak beberapa hari lepas di kawasan Mentigen dan Pusung Lingker dalam Taman Negara Bromo Tengger Semeru, destinasi pelancongan terkenal di Kabupaten Probolinggo, Jawa Timur.
Jurucakap Polis Jawa Timur Jules Abraham Abast berkata mangsa merupakan sebahagian daripada 12 anggota pasukan pemadam kebakaran yang terdiri daripada kakitangan taman negara, anggota pasukan bomba komuniti dan sukarelawan tempatan yang berusaha mengawal kebakaran itu pada Khamis.
Menurut beliau, angin kencang menyebabkan api merebak dengan cepat melalui tumbuh-tumbuhan kering.
Beliau berkata kira-kira 1.30 tengah hari, anggota bomba yang bertugas di luar zon bahaya menerima panggilan kecemasan daripada rakan mereka yang terperangkap dalam asap tebal dan api yang semakin menghampiri.
Kebakaran itu berlaku selepas satu kebakaran besar pada Ogos yang memusnahkan hampir sembilan kilometer persegi kawasan padang rumput dan tumbuh-tumbuhan di taman negara berkenaan, termasuk bunga edelweiss yang dilindungi.
Abast berkata pasukan penyelamat kemudian menemukan tiga mangsa yang maut dan tiga lagi mengalami kelecuran teruk di sebuah pusat pemindahan.
Seorang daripada mangsa yang melecur meninggal dunia ketika menerima rawatan, katanya.
Dua sukarelawan masih dirawat di hospital akibat kecederaan melecur yang serius selepas dipindahkan ke Hospital Umum Dr Soetomo di Surabaya untuk rawatan khusus, manakala enam lagi terselamat tanpa mengalami kecederaan.
"Insiden itu berlaku di kawasan pergunungan terpencil, sekali gus menyukarkan usaha menyelamat," kata Ketua Polis Probolinggo Asmida Rizki Siregar, yang turut menyertai pasukan kecemasan mengusung mangsa menggunakan pengusung sejauh kira-kira dua kilometer kerana bentuk muka bumi yang curam menghalang kenderaan daripada memasuki kawasan kejadian.
Beliau berkata pihak berkuasa menyelesaikan operasi pemindahan pada lewat Khamis dan telah memulakan siasatan terhadap kematian mangsa, termasuk kemungkinan kecuaian atau perbuatan jenayah yang menyumbang kepada tragedi itu.
Penyiasat sedang mengumpul bukti dan menemu bual mangsa yang terselamat.
Kematian itu berlaku ketika Indonesia mempergiat usaha menangani kebakaran hutan dan tanah yang semakin serius tahun ini susulan fenomena El Nino yang memburukkan lagi musim kemarau.
Faktor lain termasuk aktiviti pembukaan tanah menggunakan api di bahagian Kalimantan, Indonesia dan beberapa wilayah di Pulau Sumatera, selain kekurangan bekalan air yang menjejaskan usaha pemadaman kebakaran oleh anggota bomba Indonesia yang turut menerima bantuan dari Jepun.
Kementerian Kehutanan Indonesia merekodkan 799 titik panas di seluruh negara setakat Khamis malam, meningkat mendadak berbanding 372 pada hari sebelumnya.
Lebih tiga perempat daripada titik panas itu tertumpu di enam wilayah yang terdedah kepada kebakaran di Sumatera dan Kalimantan.
Jerebu toksik dan asap turut mencetuskan krisis kesihatan di negara jiran apabila asap merebak sehingga ke Filipina, lebih 800 kilometer jauhnya.
Kementerian Kehutanan Indonesia merekodkan lebih 2,020 kilometer persegi kawasan terbakar antara Januari hingga Julai, hampir tiga kali ganda keluasan Singapura.
Projek bebas Nusantara Atlas yang memantau kebakaran menggunakan perimejan satelit menganggarkan hampir 8,960 kilometer persegi kawasan terbakar di Indonesia setakat akhir Ogos.
-- BERNAMA-AP
