ASEAN Perlu Perkukuh Kerjasama Tangani Ancaman Biologi Rentas Sempadan - Hanifah
MIRI, 16 Okt (Bernama) -- Negara anggota ASEAN perlu memperkukuh kerjasama rentas sempadan, perkongsian maklumat dan penyelarasan tindak balas kecemasan bagi memastikan pengurusan kejadian biologi yang berkesan.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib berkata ancaman biologi boleh merebak dengan pantas merentasi sempadan dan mempunyai kesan yang melangkaui kesihatan awam, termasuk impak terhadap keselamatan negara, kesihatan haiwan, keterjaminan makanan dan alam sekitar.
"Kita perlu ingat, kita bergantung antara satu sama lain untuk perdagangan, makanan, barangan dan perkhidmatan, dan kita juga mempunyai persekitaran yang dikongsi seperti air dan hutan.
"Atas sebab ini, kita mesti menerima kebimbangan negara jiran kita, terutamanya di ASEAN," katanya dalam ucapan penutupan ASEAN Emergency Operations Centre (EOC) Network Cross-Border Miri Simulation Exercise (MSE) 2026 di sini, hari ini.
Beliau berkata simulasi tiga hari itu memberikan peluang untuk menguji kaedah agensi menyampaikan maklumat, menilai risiko, membuat keputusan yang lebih tepat, mengurus pesakit dan sampel biologi, serta menyelaraskan tindak balas merentasi pelbagai peringkat operasi.
"Kekurangan yang dikenal pasti harus dijadikan pengajaran untuk meningkatkan kesiapsiagaan kecemasan dan bukannya dilihat sebagai kegagalan. Latihan amali yang berjaya bukanlah tentang kesempurnaan, tetapi tentang mencari ruang untuk penambahbaikan sebelum kecemasan sebenar berlaku," katanya.
Latihan simulasi dan bengkel pengurusan kejadian biologi itu diadakan dari Isnin lepas hingga hari ini, menghimpunkan 99 peserta daripada Kementerian Kesihatan, pelbagai agensi kerajaan dan negara anggota ASEAN.
Program yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak itu bertujuan memperkukuh kesiapsiagaan kecemasan, pelarasan operasi dan komunikasi antara agensi pada peringkat kebangsaan dan serantau.
-- BERNAMA
