Jerebu: Johor Seru ASEAN Adakan Mesyuarat Tergempar Perkukuh Pencegahan Akan Datang
JOHOR BAHRU, 16 Okt (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor menyeru agar negara anggota ASEAN mengadakan mesyuarat tergempar bagi memperkukuh tindakan pengawalan dan pencegahan kebakaran serta pemantauan titik panas pada masa akan datang.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata perkara itu dibincang dalam Mesyuarat Penyelarasan Bencana Peringkat Negeri yang turut memberi perhatian terhadap risiko jerebu rentas sempadan susulan aktiviti titik panas di Indonesia.
Beliau berkata Johor berdepan episod jerebu sejak 25 Ogos lepas dengan beberapa kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat dan sangat tidak sihat.
"Keadaan ini amat membimbangkan, khususnya terhadap kesihatan dan kehidupan seharian rakyat," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata berdasarkan maklumat terkini daripada Pusat Meteorologi Khas ASEAN, sebanyak 453 titik panas dikesan di Kalimantan manakala 153 lagi di Sumatera.
“(Ini) berpotensi meningkatkan risiko jerebu sekiranya berlaku kebakaran dan pergerakan asap merentasi sempadan," katanya.
Setakat 4 petang tadi, Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia Jabatan Alam Sekitar memaklumkan Pasir Gudang dan Larkin berada pada tahap sangat tidak sihat, dengan bacaan IPU 202.
Enam lagi kawasan berada pada tahap tidak sihat, iaitu Pengerang dengan bacaan IPU 181 diikuti Batu Pahat dan Kota Tinggi masing-masing mencatatkan IPU 171, Kluang (168), Tangkak (159) serta Segamat (156).
-- BERNAMA
