PED ASEAN Dijangka Dimuktamadkan Pada Penghujung Kepengerusian Malaysia - Zafrul
KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Kebanyakan Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) di bawah kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dijangka dimuktamadkan pada penghujung tempoh kepengerusian, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata PED menandakan satu langkah jelas bahawa Malaysia komited untuk memperkasa ASEAN dari segi daya tahan ekonomi, peluang dan kerjasama serantau.
Tengku Zafrul berkata Malaysia juga mengambil tanggungjawab untuk meningkatkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) rantau ini dengan merangka PED yang memberi tumpuan kepada keperluan mereka.
Ini termasuk memangkin akses kepada pembiayaan iklim; mengembangkan pasaran modal ASEAN yang lebih inklusif; menubuhkan Pusat Kecemerlangan PMKS untuk peralihan hijau; dan mewujudkan asas ekonomi digital yang kukuh melalui Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA).
"Sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia memikul tanggungjawab sepenuhnya untuk memartabat dan meletakkan ASEAN sebagai penyelaras global berdaya maju dalam era ketegangan geopolitik dan gangguan geoekonomi," katanya semasa majlis menutup Sidang Kemuncak DHL GoTrade 2025, di sini, hari ini.
Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif DHL Express, John Pearson.
Menurut Tengku Zafrul, PMKS adalah tunjang kepada ekonomi ASEAN dan Malaysia, justeru, penting untuk menyesuaikan semula perdagangan secara berbeza, terutamanya untuk membantu PKS membentuk, mengekalkan atau menukar strategi mereka.
Langkah ini, katanya, selari dengan Rangka Kerja Ekonomi MADANI.
“Sebagai sebahagian daripada misi menyeluruhnya untuk meningkatkan siling dan lantai ekonomi kita, MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) telah meneraju banyak dasar pembaharuan untuk memastikan penglibatan meluas PKS (perusahaan kecil dan sederhana) dalam sektor perindustrian, perdagangan dan pelaburan Malaysia.
“Untuk membina daya tahan eksport negara, kita perlu mentransformasikan PKS kita menjadi syarikat “kecil tetapi berbisa”- firma yang berdaya saing di peringkat global dengan kepakaran khusus, teknologi tempatan dan inovasi,” katanya.
-- BERNAMA