MITI Akan Perkukuh Ekosistem Reka Bentuk Negara - Tengku Zafrul
KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melalui Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) akan terus memperkukuh ekosistem reka bentuk negara menerusi tiga keutamaan penting.
Menteri berkenaan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata keutamaan itu adalah menggalakkan kerjasama dalam kalangan pereka bentuk, pengilang dan ahli akademik; mengukuhkan piawaian reka bentuk dan rangka kerja pensijilan; serta mengintegrasikan idea reka bentuk dalam bidang keusahawanan.
“Aspirasi kami jelas iaitu untuk menjadikan reka bentuk sebagai satu kelebihan daya saing negara dan membangunkan ekonomi kreatif sebagai antara tunjang utama transformasi perindustrian Malaysia,” katanya pada majlis Malaysia Good Design Award dan Certified Industrial Designer Award 2025 di sini malam ini.
Menurut Tengku Zafrul sektor kreatif digital Malaysia telah menjana perolehan sebanyak RM5.3 bilion, dengan nilai eksport mencecah hampir RM800 juta serta mewujudkan lebih 10,000 pekerjaan berkemahiran tinggi pada 2023.
Beliau berkata ekonomi kreatif secara keseluruhannya telah menyumbang sebanyak RM29.4 bilion iaitu kira-kira 1.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar negara.
"Apabila angka ini meningkat, mesejnya jelas -- reka bentuk bukanlah kemewahan, ia adalah pemacu pertumbuhan ekonomi Malaysia," katanya.
Tengku Zafrul berkata reka bentuk akan terus berperanan penting dalam memacu produktiviti, menyokong inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus serta membantu perusahaan kecil dan sederhana dan syarikat besar untuk bersaing di peringkat global di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-13.
Sementara itu, beliau turut memperkenalkan Sidang Kemuncak Rekabentuk Kuala Lumpur (KLDS) 2026, yang disifatkannya sebagai “penanda aras penting yang mencerminkan visi teguh MRM untuk mengangkat Malaysia sebagai hab serantau bagi reka bentuk dan inovasi.”
-- BERNAMA