PM Baharu Jepun Takaichi Bakal Lakukan Penampilan Sulung Diplomatik Pada Mesyuarat ASEAN

Sanae Takaichi Foto: REUTERS
21/10/2025 10:09 PM

TOKYO, 21 Okt (Bernama-Kyodo) -- Perdana Menteri Jepun yang baru dipilih, Sanae Takaichi sedang mengatur untuk membuat penampilan sulung diplomatiknya pada mesyuarat berkaitan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) hujung minggu ini, lapor Agensi Berita Kyodo yang memetik sumber kerajaan pada Selasa.

Takaichi, pemimpin wanita pertama Jepun merancang untuk mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya dari Malaysia merangkap Pengerusi ASEAN, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut sumber, beliau dijangka mengumumkan pemberian peralatan pertahanan kepada Malaysia di bawah rangka kerja Bantuan Keselamatan Rasmi.

Program bantuan keselamatan Jepun dilancarkan pada 2023 untuk menyediakan peralatan pertahanan kepada negara-negara yang sehaluan. Malaysia dipilih sebagai antara penerima awal bersama beberapa negara lain seperti Filipina dan Fiji.

Kerajaan Jepun amat mementingkan hubungan dengan negara-negara di Asia Tenggara, kawasan yang menempatkan laluan laut utama dan strategik serta pertumbuhan ekonomi yang berterusan.

Dengan ketegasan maritim China yang semakin meningkat di Indo-Pasifik, Jepun mahu mempromosikan orde antarabangsa yang bebas dan terbuka berasaskan kedaulatan undang-undang bersama negara-negara ASEAN, menurut sumber itu.

Tahun ini, Malaysia telah menerima dron pemantauan pada September dan bot penyelamat pada Oktober dari Jepun bagi memperkukuh keupayaan keselamatan maritimnya.

Takaichi juga sedang mengatur pertemuan sidang kemuncak dengan Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr. semasa lawatannya ke Malaysia.

Dalam aspek pelbagai hala, beliau merancang menyertai sidang kemuncak Jepun-ASEAN serta sidang kemuncak Komuniti Pelepasan Sifar Asia.

Takaichi dijangka pulang ke Jepun pada pertengahan acara ASEAN selama tiga hari itu untuk bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, yang dijadual tiba di Jepun pada Isnin sebagai sebahagian daripada lawatan ke Asia.

Perdana menteri baharu itu juga dijadual menghadiri sidang kemuncak forum Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang akan bermula pada 31 Okt di Korea Selatan.

-- BERNAMA-KYODO