ASEAN Perlu Bertindak Secara Kolektif Tangani Perubahan Iklim, Pembangunan Tenaga Bersih
KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Negara anggota ASEAN perlu bertindak secara kolektif bagi menangani isu perubahan iklim dan kemajuan dalam peralihan tenaga bersih, kata Pengerusi Penyelidikan dan Advokasi CARI ASEAN Tan Sri Dr Munir Majid.
Beliau yang juga Presiden Kelab Perniagaan ASEAN berkata kemajuan yang mampan bergantung kepada tanggungjawab bersama dan kerjasama serantau yang kukuh.
“Sidang Kemuncak ke-47 tidak akan menyelesaikan masalah kemampanan kita (ASEAN). Kita perlu menyelesaikannya, dan kita perlu bekerjasama untuk menyelesaikannya bersama-sama.
“Matlamat Pembangunan Mampan ke-17 (perkongsian untuk mencapai matlamat) menyeru kepada kerjasama bagi menyelesaikan masalah. Orang ramai perlu menjadi rakan kongsi dalam menyelesaikan masalah, rumah ke rumah, perniagaan ke perniagaan, negara ke negara, komuniti ke komuniti,” katanya pada program ‘The Nation’ bertajuk Malaysia at the Heart of ASEAN’s Sustainable Future, terbitan Bernama TV.
Beliau berkata Malaysia akan terus menerajui usaha kemampanan serantau dengan dasar yang konkrit dan projek tenaga bersifat pemangkin, kerana pengalaman dan kepimpinan Malaysia telah meletakkan negara di barisan hadapan dalam gerakan kemampanan ASEAN.
Munir berkata Malaysia telah memasukkan 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam agenda pembangunan negara bermula daripada Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), berterusan ke RMK12 ketika ini dan kekal menjadi tumpuan dalam RMK13 yang akan datang.
Beliau berkata untuk mencapai semua 17 matlamat itu bukan mudah tetapi kemajuan dan komitmen Malaysia adalah jelas menerusi laporan berkala kepada badan antarabangsa itu.
Munir berkata menteri-menteri tenaga ASEAN telah meluluskan Pelan Tindakan bagi Kerjasama Tenaga ASEAN (APACE) 2026-2030 pada minggu lepas, menunjukkan komitmen kolektif rantau ini dalam kemajuan pembangunan tenaga bersih, walaupun kapasiti perlaksanaan berbeza antara negara anggota.
Beliau juga berkata peralihan tenaga mampan kekal sebagai satu daripada faktor paling kritikal bagi pembangunan jangka panjang ASEAN, memandangkan Malaysia telah memulakan projek utama di bawah rangka kerja peralihan tenaga yang diperkenalkan pada 2022.
“Kita mempunyai Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Boleh Diperbaharui. Kita mempunyai dasar peralihan tenaga...kita juga ada projek, projek yang memberi kesan pemangkin selain beberapa pelan peralihan tenaga.
“Sebagai contoh, kita mempunyai satu daripada ladang solar terbesar di ASEAN. Kita juga mempunyai ladang hibrid, gabungan hidro dengan solar, seperti yang terdapat di Empangan Klang Gate. Di Sarawak, terdapat projek hidroelektrik dan tenaga hijau besar-besaran,” katanya.
Beliau berkata usaha juga sedang dijalankan untuk mewujudkan Grid Tenaga ASEAN, yang akan menghubungkan sumber tenaga merentasi sempadan.
-- BERNAMA