ASEAN, Rakan Kongsi Adakan Latihan Serantau Perkukuh Pertahanan Siber

21/10/2025 09:21 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Di tengah-tengah ancaman siber yang semakin canggih, ASEAN dan rakan kongsinya mempertingkatkan pertahanan terhadap serangan ke atas peranti pinggir rangkaian melalui latihan keselamatan siber serantau selama dua hari di Singapura bermula Selasa.

Dianjurkan setiap tahun oleh republik itu, ASEAN CERT Incident Drill (ACID) bertujuan menguji prosedur tindak balas insiden serta meningkatkan kesiapsiagaan dan kerjasama keselamatan siber dalam kalangan Pasukan Tindakan Kecemasan Komputer (CERT) dari negara anggota ASEAN dan rakan dialognya.

Latihan tahun ini diadakan bersempena Minggu Siber Antarabangsa Singapura 2025.

Ia menghimpunkan 36 anggota tindak balas insiden dari 10 negara anggota, lima rakan dialog dan Timor-Leste di kemudahan CERT Rantau ASEAN.

ACID edisi ke-20 itu dilaksanakan secara fizikal buat kali pertama di Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber ASEAN-Singapura, lokasi terletaknya kemudahan CERT Rantau ASEAN.

Acara itu turut menyaksikan penggunaan julung kali platform perkongsian maklumat baharu CERT Rantau ASEAN, menurut kenyataan Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA).

Bertemakan “Securing Network Devices at the Edge”, latihan tahun ini memberi tumpuan kepada insiden siber yang melibatkan peranti pinggir rangkaian seperti perkakas VPN dan gerbang capaian jauh selamat, yang sering berperanan sebagai benteng pertahanan pertama.

“Seiring dengan peningkatan pergantungan organisasi kepada peranti pinggir rangkaian, latihan ini akan membolehkan peserta mempelajari teknik praktikal untuk melindungi peranti tersebut,” kata CSA dalam kenyataan itu.

Buat pertama kalinya, para peserta akan menggunakan Mekanisme Perkongsian Maklumat (ISM) CERT Rantau ASEAN. Dilancarkan pada Mei 2025, ISM berfungsi sebagai saluran komunikasi berpusat untuk menyokong perkongsian maklumat ancaman siber, pertukaran teknikal dan penyelarasan latihan siber.

Penyelaras keseluruhan Pasukan Petugas CERT Rantau ASEAN yang juga Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara Malaysia, Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata ACID melambangkan komitmen kolektif untuk memperkukuh daya tahan siber serantau.

“Tahun ini amat bermakna kerana ACID buat pertama kali dilaksanakan secara fizikal di kemudahan baharu CERT Rantau ASEAN dan menandakan penggunaan pertama ISM CERT Rantau ASEAN dalam situasi latihan sejak ia mula beroperasi awal tahun ini. Pencapaian itu akan membuka laluan ke hadapan dalam usaha melindungi ekosistem digital serantau yang dikongsi bersama,” katanya.

Tahun ini, para peserta juga akan menyertai latihan "atas meja" bagi menguruskan insiden siber rentas sempadan serta bengkel yang memberi tumpuan kepada pengukuhan pertahanan terhadap ancaman berterusan termaju (APT).

Latihan itu akan melibatkan kerjasama peserta menangani senario simulasi yang memberi kesan kepada sistem kritikal pelbagai negara, sekali gus memberi peluang untuk menyelaras usaha serantau dalam pengurangan ancaman, pemulihan dan tindakan susulan.

Selain itu, platform keselamatan siber "Hack The Box" akan menganjurkan bengkel bertajuk “Upskilling Blue Teams: Defending Against APTs” bagi melengkapkan peserta dengan kemahiran praktikal untuk mengesan dan bertindak balas terhadap serangan APT susulan peningkatan ancaman itu di peringkat global.

-- BERNAMA