Malaysia Terbuka Jalin Usahasama Pembangunan Nadir Bumi Dengan Syarikat Asing - Tengku Zafrul
Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Malaysia mengalu-alukan syarikat asing untuk menjalin usaha sama dengan syarikat tempatan bagi pembangunan mineral nadir bumi (REE) di Malaysia, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata Malaysia mempunyai kelebihan dari segi daya saing melalui anggaran simpanan REE sebanyak 1.6 juta tan.
“Sehubungan dengan itu, kami mempelawa syarikat-syarikat untuk melabur di sini, dan pada masa sama mahu lebih ramai rakyat tempatan yang terlibat, bukan sekadar di peringkat rantaian bekalan, malah dari segi kepentingan ekonomi, termasuk pemilikan ekuiti dan pegangan saham menerusi usaha sama itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual secara berkumpulan bertemakan “How ASEAN's Economic Prosperity Supports Regional Political Stability” di sini hari ini.
Mengulas lanjut, menurut Tengku Zafrul meskipun MITI belum menerima sebarang cadangan untuk menubuhkan kemudahan pemprosesan REE baharu, Malaysia menyasarkan untuk turut terlibat dalam aktiviti pemprosesan peringkat pertengahan dan bukan sekadar mengeksport bahan mentah yang mempunyai nilai ekonomi rendah dan mempunyai kompleksiti rendah.
Malaysia sebelum ini telah melaksanakan moratorium larangan eksport bahan nadir bumi mentah bermula 1 Jan, 2024. Langkah ini bertujuan untuk menggalakkan syarikat menubuhkan industri pemprosesan dan hiliran dalam negara bagi memperoleh nilai tambah yang lebih tinggi, mewujudkan peluang pekerjaan dan menggalakkan pemindahan teknologi.
Tengku Zafrul berkata dengan larangan itu, secara tidak langsung akan mendorong syarikat-syarikat untuk menubuhkan operasi di sini tanpa mengira negara asal mereka.
“Bagi kerajaan terutamanya MITI yang mengawasi aktiviti hiliran, kami tidak mengenakan sebarang sekatan ke atas negara mana yang ingin membangunkan industri mereka di Malaysia,” katanya.
Beliau seterusnya memaklumkan bahawa Khazanah Nasional Bhd sedang menjalin kerjasama dengan syarikat China untuk meneroka peluang dalam aktiviti hiliran nadir bumi.
“Bagi Lynas, mereka merupakan syarikat swasta dan sudah beroperasi di sini. Kita tidak akan menyekat mereka daripada mengeksport ke pasaran pilihan mereka, seperti Korea, Jepun dan Amerika Syarikat. Ini kerana, pada akhirnya Malaysia kekal bersikap berkecuali dan terbuka kepada semua pihak,” kata beliau.
Mengulas mengenai dasar ASEAN yang tidak seragam terhadap nadir bumi dan strategi kolektif serantau, Tengku Zafrul berkata prinsip ASEAN selama ini adalah rundingan berkaitan isu keselamatan nasional dan ekonomi dijalankan secara dua hala.
“Saya percaya kebanyakan negara mempunyai dasar yang serupa dan sentiasa melindungi kepentingan negara masing-masing. Kami juga mahu memastikan jiran-jiran berkongsi cabaran mereka dengan kami. Itu yang kami lakukan terutamanya bagi Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) di bawah tonggak ekonomi ASEAN.
“Kami berkongsi teknologi, jika ada, serta idea perdagangan dan rantaian bekalan apabila membincangkan berkaitan keterjaminan rantaian bekalan,” kata Tengku Zafrul.
-- BERNAMA