Menteri Sumber Manusia Steven Sim Antara Terbaik Di Rantau Ini - ILO

Ketua Pengarah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Gilbert F. Houngbo menyampaikan ucapan pada Pembukaan Forum Kemahiran Global ASEAN 2025 hari ini.
22/10/2025 03:33 PM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Ketua Pengarah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) Gilbert F. Houngbo memuji Menteri Sumber Manusia Steven Sim sebagai antara menteri buruh paling dinamik dan berwawasan di rantau ini.

Houngbo berkata kepimpinan Sim dalam memperjuangkan Tahun Kemahiran ASEAN 2025  mencerminkan komitmen Malaysia untuk memperkasakan tenaga kerja bagi mendepani masa hadapan serta mengesahkan kesediaan ILO untuk menyokong Malaysia dan ASEAN dalam mencapai matlamat berkenaan.

“Inovasi teknologi, kecerdasan buatan, peralihan ke arah ekonomi hijau dan digital, perubahan demografi serta bentuk pekerjaan baharu sedang mengubah cara kita bekerja, belajar dan menghasilkan sesuatu,” katanya semasa berucap pada Forum Kemahiran Global, Tahun Kemahiran ASEAN 2025 di sini hari ini.

Turut hadir Steven Sim dan Naib Presiden Pertubuhan Majikan Antarabangsa (IOE) Matthias Thorns.

Houngbo berkata perubahan ini membuka peluang bagi pertumbuhan dan produktiviti, namun turut mencetuskan risiko peningkatan ketidaksamaan sekiranya pekerja dan perusahaan tidak dilengkapi kemahiran. 

Beliau berkata bagi ILO, pembangunan kemahiran dan pembelajaran sepanjang hayat adalah teras kepada masa hadapan pekerjaan yang berpaksikan manusia kerana ia kunci kepada peningkatan produktiviti, keterangkuman sosial dan daya tahan yang memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, majikan dan pekerja.

“Kerajaan perlu menyediakan dasar dan insentif yang sesuai serta melabur dalam pembangunan kemahiran.

“Pertubuhan pekerja pula memastikan latihan dijalankan secara adil dan mudah diakses, manakala majikan menghubungkannya dengan keperluan ekonomi kerana kejayaan pembangunan kemahiran bergantung kepada penglibatan mereka,” katanya.

Houngbo turut menekankan tiga bidang utama, iaitu tindakan bersama dapat memberikan impak paling besar dalam menangani tanggungjawab bersama itu.

“Pertama, inovasi. Teknologi baharu seperti kecerdasan buatan sedang mengubah cara kita mereka bentuk dan melaksanakan pembelajaran serta latihan. Kita mesti memastikan inovasi ini kekal berpaksikan  manusia, beretika dan inklusif.

“Kedua, keterangkuman. Setiap pekerja, tanpa mengira jantina, umur, latar belakang atau status pekerjaan, mesti diberi peluang belajar, menambah dan mempertingkatkan kemahiran.

“Sistem kemahiran juga perlu melibatkan pekerja dalam ekonomi tidak formal, Orang Kurang Upaya (OKU), serta mereka di kawasan luar bandar.

“Ketiga, pelaburan. Kemahiran ialah pelaburan terbaik bagi mana-mana masyarakat. Ini memerlukan pembiayaan mencukupi dan diperuntukkan dalam belanjawan kerajaan, skim levi dan pelaburan bersama oleh perusahaan bagi memastikan peluang pembelajaran dapat dikekalkan pada setiap peringkat hayat bekerja,” katanya.

Houngbo berkata Strategi Kemahiran dan Pembelajaran Sepanjang Hayat ILO 2030 menggesa tindakan kolektif yang menghubungkan dasar nasional, inisiatif sektoral dan kerjasama antarabangsa bagi menutup jurang kemahiran serta memperkukuh keadilan sosial.

-- BERNAMA