Penyertaan TAC Finland Buka Laluan Perkukuh Hubungan Dengan Malaysia, ASEAN

Menteri Luar Finland, Elina Valtonen
25/10/2025 08:03 PM

Oleh Nursyabiha Sukri

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Finland telah mengesahkan komitmen untuk mengukuhkan kerjasama yang sudah lama terjalin dengan Malaysia dan mengeratkan penglibatan dengan ASEAN, susulan penyertaannya dalam Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) di sini hari ini.

Menteri Luar Finland Elina Valtonen berkata hubungan rapat antara kedua-dua negara telah dibina sejak bertahun-tahun menerusi kerjasama merentasi pelbagai sektor khususnya perdagangan, pelaburan dan kerjasama serantau, susulan penyertaannya

“Kita mempunyai hubungan yang lama antara Finland dan Malaysia dan ia satu penghormatan untuk saya berada di sini hari ini. Bukan kebetulan kami dapat menandatangani TAC di sini di Kuala Lumpur,” katanya dalam temu bual program The Nation, Bernama TV

Valtonen berkata kedua-dua negara telah menikmati hubungan ekonomi dan diplomatik yang kukuh dan kini sedang berusaha untuk membawa kerjasama itu ke peringkat seterusnya.

“Saya turut berharap Malaysia akan menandatangani perjanjian perdagangan bebas dengan EU dalam masa terdekat, yang akan menjadikan rantau kita lebih erat," katanya.

Valtonen menyifatkan penyertaan Finland ke dalam TAC sebagai langkah penting untuk mengukuhkan hubungan dengan ASEAN, membuka laluan ke arah peningkatan kerjasama dan usaha bersama ke arah keamanan dan kestabilan. 

“Saya fikir ini adalah masa terbaik untuk melakukannya kerana apa yang kita perlukan adalah lebih banyak kerjasama antara rantau. Finland adalah sebuah negara yang maju dari segi teknologi, ia juga berminat untuk berkongsi kepakarannya, untuk meningkatkan perdagangan dan melibatkan diri dalam pelaburan di seluruh rantau ini,” katanya.

Valtonen berkata penyertaan Finland ke dalam TAC menjadikan negara itu selari dengan negara Eropah lain yang telah melakukannya dan mencerminkan komitmen bersama terhadap keamanan, multilateralisme dan undang-undang antarabangsa.

Beliau menambah Finland memberikan penekanan yang kuat terhadap pembangunan modal insan dan pembelajaran sepanjang hayat.

“Dalam zaman kecerdasan buatan (AI) ini, kita semua perlu menjalankan latihan semula sepanjang kerjaya untuk kekal relevan dan Finland mempunyai banyak penyelesaian untuk ditawarkan," katanya.

Penyertaan Finland ke dalam TAC, menjadikannya negara ketiga yang menyertai perjanjian ASEAN semasa Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025.

Ini menjadikan jumlah negara yang menandatangani perjanjian ASEAN itu kepada 58, selepas Algeria dan Uruguay pada Julai, memperteguh lagi peranan blok itu sebagai jambatan kerjasama antara rantau dan benua.

Finland, yang diwakili Valtonen, memeterai komitmen rasmi negara itu di luar sesi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Majlis berkenaan disaksikan oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan turut dihadiri menteri-menteri luar negara anggota dan Timor-Leste serta Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.

-- BERNAMA