Malaysia, Finland Setuju Perkukuh Kerjasama Dua Hala Pelbagai Bidang - Mohamad Hasan

25/10/2025 08:22 PM

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Malaysia dan Finland bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam pelbagai aspek, terutamanya melibatkan pemindahan teknologi tinggi, bidang satelit dan pendidikan.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Finland dilihat mempunyai keupayaan yang baik dalam ketiga-tiga perkara berkenaan.

“Finland mempunyai kapasiti yang baik dalam soal teknologi tinggi dan satelit, mereka juga mempunyai sistem pembelajaran peringkat sekolah yang baik, malah ada dua sekolah yang telah menggunakan templat pelajaran negara berkenaan di Malaysia, iaitu di Damansara dan Cyberjaya,” katanya.

Mohamad berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat dari Finland Elina Valtonen di sini hari ini, menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata biarpun tidak mempunyai banyak hubungan perdagangan dengan Malaysia, Finland merupakan negara yang sehaluan dengan Malaysia dalam aspek mengutamakan keamaan di dunia ini.

Mohamad berkata beliau turut mengadakan pertemuan bersama dengan Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn hari ini.

“Dalam pertemuan itu, saya mengambil kesempatan untuk menyatakan penghargaan kepada beliau dan pegawai-pegawai, termasuk sokongan diberikan Sekretariat ASEAN yang membantu Malaysia semasa kita menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun ini.

“Banyak juga perkara lain kami berdua bincangkan dan perlu diperhalus lagi yang akan kita bawa ke peringkat Ketua-Ketua Negara pada pagi esok,” katanya.

Mohamad berkata dalam pertemuan itu juga, Kao mengulangi kenyataannya yang mengiktiraf peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, terutamanya dalam menjadi pemudah cara kepada gencatan senjata melibatkan Kemboja dan Thailand.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan akan menjadi antara perhimpunan terbesar dalam sejarah blok itu, dan berfungsi sebagai platform penting untuk memperteguh kerjasama serta menangani cabaran serantau dan global secara menyeluruh.

Tahun ini menandakan kali kelima Malaysia memegang tampuk Kepengerusian ASEAN sejak penubuhan badan serantau itu pada 1967.

Malaysia sebelum ini mempengerusikan ASEAN pada 2015, 2005, 1997 dan 1977.

-- BERNAMA