Pengintegrasian AI Ubah Landskap Liputan Media Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47

25/10/2025 08:16 PM

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Pengintegrasian kecerdasan buatan (AI) mengubah cara wartawan bekerja pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan sekali gus membolehkan pelaporan masa nyata yang lebih pantas, tepat dan efisien dari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. 

Pengamal media tempatan dan antarabangsa kini menggunakan pelbagai peralatan berasaskan AI seperti ChatGPT, Turboscribe, Gemini dan sistem terjemahan automatik untuk mentranskripsikan, meringkaskan serta menganalisis ucapan dalam tempoh beberapa minit sahaja.

Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai berkata sidang kemuncak kali ini menandakan satu pencapaian penting dalam pendigitalan bilik berita, menyaksikan lebih 2,000 petugas media daripada 290 agensi berdaftar, kebanyakannya menggunakan aplikasi AI bagi meningkatkan produktiviti dan hasil kerja.

“Mungkin buat kali pertama dalam sejarah, khususnya bagi ASEAN, penggunaan AI seperti ChatGPT dan lain-lain bertambah meluas dan ini sangat baik kerana kita dapat analisis dan transkripsi dengan pantas.

“Bagaimanapun, wartawan perlu berhati-hati dan elak terjebak dengan plagiarism. AI seharusnya menjadi panduan, bukan menggantikan profesion kewartawanan. Ia boleh membantu dari segi idea dan perspektif, tetapi keaslian dan integriti mesti dikekalkan sebagai nilai teras kita,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Wong, 64, yang mempunyai pengalaman lebih empat dekad dan telah membuat liputan pelbagai Sidang Kemuncak ASEAN dan antarabangsa, menekankan bahawa AI tidak boleh menggantikan peranan wartawan dalam mengesahkan fakta dan mendapatkan maklumat di lapangan.

Penerima Anugerah Tokoh Wartawan Negara itu berkata sinergi antara pertimbangan manusia dan kecekapan AI membantu menyumbang kepada liputan yang lebih dinamik dan tepat.

“Ini mungkin Sidang Kemuncak ASEAN pertama yang  AI banyak membantu. Ia mempercepat penghasilan berita dan meningkatkan kualiti visual, tetapi perlu menjadi peringatan - jangan meniru. Kekalkan keaslian dan integriti,” katanya.

Wartawan Timor-Leste National Agency (Tatoli) Digna de Edita Aniceto Serrao berkata AI membantu pasukannya menguruskan kandungan pelbagai bahasa dan menghasilkan kemas kini tepat pada masanya untuk tatapan khalayak di rantau itu.

“Kadangkala jika saya tidak faham perkataan atau istilah tertentu, saya gunakan AI untuk menterjemah atau meringkaskan perbincangan yang panjang. Ia sememangnya menjimatkan masa, terutamanya apabila banyak mesyuarat berlangsung serentak,” katanya.

Ketua Pengarang akhbar Young Bites dari India, Vijay Gupta berkata teknologi digital itu telah membantu memperkukuh konsistensi dan jangkauan pelaporan merentas bahasa sekali gus memastikan laporan yang seragam di semua platform.

Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat Kementerian Luar Negeri Zul Izwan Hamzah berkata alat digital juga memudahkan terjemahan pada masa nyata serta penyebaran ucapan dan dokumen rasmi dalam pelbagai bahasa. 

“Ia membolehkan kami berkongsi maklumat dengan lebih pantas dan mengekalkan standard pelaporan yang konsisten. Namun, sentuhan manusia masih diperlukan terutama apabila melibatkan pelbagai bahasa,” katanya.

Tahun ini, Malaysia memegang tampuk Kepengerusian ASEAN dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, mencerminkan komitmen untuk memupuk komuniti ASEAN yang bersatu, berwawasan serta berdaya tahan.

Pada tahun ini juga menandakan kali kelima Malaysia memegang jawatan itu sejak penubuhan blok berkenaan pada 1967, selepas mempengerusikan ASEAN pada 2015, 2005, 1997 dan 1977.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 menghimpunkan negara-negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun dan Afrika Selatan.

-- BERNAMA