Brazil Mahu Perkukuh Kerjasama Ekonomi, Perniagaan Dengan Malaysia - Lula Da Silva

27/10/2025 03:02 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Brazil berhasrat meningkatkan potensi perdagangan dengan Malaysia dan menggesa komuniti perniagaan kedua-dua negara memperdalam kerjasama serta memperkukuh pertumbuhan perdagangan, kata Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva hari ini.

Bercakap pada sidang media sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang-sidang berkaitan di sini, beliau mengakui bahawa sektor swasta merupakan pemacu sebenar kepada pertumbuhan dua hala.

“Ahli perniagaanlah yang tahu bagaimana untuk berunding, mempunyai kepentingan serta pengetahuan mereka sendiri, dan oleh itu, peranan kerajaan ialah memastikan dalam setiap bidang perniagaan, kami membawa delegasi usahawan Brazil,” kata Lula da Silva.

Luiz Inacio Lula da Silva

Beliau menjelaskan bahawa perdagangan dua hala antara Brazil dan rakan utama termasuk Malaysia berjumlah sekitar US$12 bilion, dan menggambarkan jumlah itu sebagai kecil berbanding keupayaan ekonomi pasaran berkenaan.

Sehubungan itu, Lula da Silva menyeru pegawai kerajaan dan pemimpin korporat Brazil agar lebih berani memperluas kehadiran mereka di luar negara serta giat mempromosikan keupayaan industri negara.

Pada 2024, Brazil merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di Amerika Latin dengan jumlah perdagangan dua hala RM20.36 bilion (US$4.46 bilion).

Eksport Malaysia merangkumi produk elektrik dan elektronik, minyak sawit, getah serta farmaseutikal halal, manakala importnya terdiri daripada bijih, makanan diproses dan produk petroleum.

Presiden Brazil itu berada di ibu negara bermula 25 Okt bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung dari 26 hingga 28 Okt.

Brazil merupakan rakan dialog sektoral ASEAN sejak 2022.

Sepanjang 25 tahun lalu, perdagangan antara Brazil dan ASEAN meningkat lebih 16 kali ganda. Pada 2000, aliran perdagangan Brazil ke ASEAN bernilai US$2.3 bilion dan tahun lalu meningkat kepada US$37.2 bilion.

-- BERNAMA