Jerebu: Satu Kawasan Di Sarawak Catat IPU Sangat Tidak Sihat, 11 Stesen Rekod Tidak Sihat

Pemandangan berjerebu dirakam di bandar Serian yang terletak kira-kira 60 kilometer dari bandaraya Kuching, hari ini. Kualiti udara di Serian yang berdekatan dengan sempadan Malaysia-Indonesia semakin meningkat dengan indeks pencemaran udara (IPU) kian menghampiri tahap tidak sihat iaitu 190. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
12/08/2026 06:14 PM

PUTRAJAYA, 12 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 12 stesen pemantauan kualiti udara di seluruh negara mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat dan sangat tidak sihat setakat 3 petang tadi susulan fenomena jerebu yang melanda negara sejak 8 Ogos lepas.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam kenyataan hari ini memaklumkan 11 stesen merekodkan bacaan pada tahap tidak sihat, termasuk Cheras, Kuala Lumpur (122), Putrajaya (121) dan Shah Alam, Selangor (112).

Di Sarawak, bacaan tidak sihat direkodkan di Miri (152), Samalaju (120), Bintulu (154), Sibu (135), Sarikei (161), Sri Aman (158), Samarahan (177) dan Kuching (177).

Sementara itu, satu stesen di Sarawak, iaitu IPD Serian mencatat bacaan IPU 204, berada pada tahap sangat tidak sihat.

Menurut NRES, negara kini berdepan dengan situasi jerebu susulan fenomena El Nino yang berlaku serentak dengan Monsun Barat Daya, menyebabkan beberapa kawasan, khususnya di selatan Semenanjung Malaysia serta bahagian barat dan selatan Sarawak menerima taburan hujan lebih rendah daripada purata.

"Kombinasi taburan hujan yang lebih rendah dan suhu yang lebih tinggi berpotensi meningkatkan risiko kekurangan sumber air, kebakaran hutan dan tanah gambut serta kejadian jerebu, terutamanya di kawasan yang mengalami keadaan kering untuk tempoh yang panjang," menurut kenyataan itu.

NRES memaklumkan kemerosotan kualiti udara di Sarawak disebabkan oleh jerebu rentas sempadan selain kebakaran tempatan di tapak pelupusan sampah di bawah seliaan Majlis Perbandaran Sibu (SMC), melibatkan anggaran keluasan 1.5 hektar.

"Kebakaran hutan dan belukar di Sri Aman turut dilaporkan melibatkan anggaran keluasan 100 hektar, dengan operasi pemadaman masih giat dijalankan di kedua-dua lokasi," menurut kenyataan itu.

Berdasarkan pemantauan satelit Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) 20 semalam, sebanyak 12 titik panas dikesan di Malaysia, iaitu satu di Pahang dan 11 di Sarawak, berbanding 60 titik panas di Sumatera dan 354 di Kalimantan.

Menurut kenyataan itu, cuaca kering dijangka berterusan di kebanyakan kawasan selatan rantau ASEAN, kecuali utara Semenanjung Malaysia dan Sumatera yang diramalkan mengalami hujan.

"Keadaan kering yang berpanjangan boleh menyebabkan peningkatan kejadian titik panas dan jerebu, sekali gus meningkatkan kemungkinan berlakunya jerebu rentas sempadan," menurut kenyataan itu.

Pada peringkat ASEAN, Tahap Amaran 2 telah diaktifkan pada 3 Ogos lepas, dengan negara di selatan rantau ASEAN termasuk Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand dan Timor-Leste perlu mengemukakan pelaporan harian serta tindak balas kecemasan bagi kejadian kebakaran dan jerebu.

Berdasarkan Peta Jerebu Serantau dan maklumat ASEAN Specialised Meteorological Centre hari ini, keadaan kering berlaku di selatan rantau ASEAN, kecuali beberapa kawasan di utara Sumatera yang mengalami hujan.

Laporan itu menyebut titik panas terpencil dikesan di bahagian tengah dan selatan Sumatera serta selatan dan timur Kalimantan, selain beberapa titik panas di Semenanjung Malaysia, Sarawak, Pulau Jawa dan Sulawesi.

Kepulan asap sederhana diperhatikan di Kalimantan Barat dan Kalimantan Tengah, manakala kepulan asap ringan dikesan di bahagian selatan Sumatera.

Menurut kenyataan itu, NRES bersama dengan Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Meteorologi Malaysia akan terus memantau serta melaporkan perkembangan cuaca, kualiti udara dan situasi jerebu dari semasa ke semasa.

"Semua kementerian, jabatan dan agensi berkaitan turut melaksanakan tindakan berdasarkan tahap amaran di bawah Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) dan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK).

"Orang awam di kawasan terjejas dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar, memakai pelitup muka dan minum air secukupnya bagi mengekalkan hidrasi, selain dilarang melakukan sebarang pembakaran terbuka bagi mengelakkan keadaan jerebu bertambah buruk," menurut kenyataan itu.

Maklumat IPU rasmi boleh dirujuk melalui laman sesawang https://eqms.doe.gov.my/APIMS/main atau aplikasi MyJAS EQMS, manakala maklumat cuaca rasmi boleh diperoleh menerusi laman sesawang MET Malaysia atau aplikasi myCuaca.

-- BERNAMA