Dr Mahathir, Dr Siti Hasmah Cipta Tiga Rekod Bersejarah

Kredit : FB Dr. Mahathir bin Mohamad
12/08/2026 09:51 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mengukir sejarah apabila dianugerahkan tiga rekod rasmi yang mengiktiraf usia panjang dan status unik mereka sebagai pasangan suami isteri.

Dr Mahathir yang berusia 101 tahun diiktiraf oleh ASEAN Records sebagai Bekas Perdana Menteri Masih Hidup yang Tertua, manakala Dr Siti Hasmah, 100, mendapat pengiktirafan sebagai Pasangan kepada Bekas Perdana Menteri Masih Hidup yang Tertua.

Pasangan itu turut menerima pengiktirafan ketiga secara bersama di bawah ASIA Records sebagai Bekas Ketua Kerajaan Pertama dan Pasangan yang Mencapai Usia "Centenarian".

Kredit : FB Dr. Mahathir bin Mohamad

Dalam hantaran Facebook Dr Mahathir, pengiktirafan bersejarah itu disampaikan pada satu majlis yang diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya semalam, sekali gus menandakan bulan yang penuh dengan pencapaian istimewa bagi pasangan itu.

Dr Mahathir meraikan ulang tahun ke-101 pada 10 Julai, manakala Dr Siti Hasmah menyambut hari kelahiran ke-100 pada 12 Julai, dan 5 Ogos lepas ialah hari ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-70.

Pengesahan oleh pasukan pengadil mendapati tiada pencapaian setara yang direkodkan secara umum di rantau ASEAN dan pasaran utama Asia.

Kredit : FB Dr. Mahathir bin Mohamad

Sijil pengiktirafan itu disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Penasihat ASEAN Records Tan Sri Danny Ooi, diiringi oleh Ketua Pengadil Gillian Ooi dan Eldrick Koh, yang juga Pengarah ASEAN dan ASIA Records.

-- BERNAMA

Kredit : FB Dr. Mahathir bin Mohamad