Terusan Pinglu Jalani Ujian Akhir Sebelum Beroperasi Pada September

Kredit: CMG
13/08/2026 02:30 PM

BEIJING, 13 Ogos (Bernama-CMG) -- Terusan Pinglu yang terletak di Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi, barat daya China mula menjalani ujian pelayaran sulung di sepanjang keseluruhan laluannya pada Rabu.

Ujian itu juga merupakan penilaian akhir terhadap terusan berkenaan yang akan beroperasi secara rasmi pada September ini.

Sebanyak empat kapal daripada kelas 1,000 tan metrik, 3,000 tan metrik, dan 5,000 tan metrik akan digunakan dalam ujian berkenaan.

Terusan Pinglu merupakan laluan pengangkutan sungai terdekat yang menghubungkan barat daya China dengan ASEAN, sekali gus menawarkan kos pengangkutan yang lebih rendah.

Pada masa sama, sebagai laluan penting dalam Koridor Perdagangan Darat-Laut Antarabangsa Baharu, Terusan Pinglu juga merupakan projek terusan darat-laut pertama di China sejak penubuhan Republik Rakyat China (PRC) pada 1949.

Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi yang bersebelahan dengan Delta Sungai Mutiara dan dihubungkan dengan Asia Tenggara melalui laut merupakan satu-satunya wilayah di barat China yang mempunyai pelabuhan laut.

Selepas beroperasi, Terusan Pinglu boleh memendekkan jarak pengangkutan kargo dari barat daya China kira-kira 560 kilometer berbanding laluan sedia ada menerusi Pelabuhan Guangzhou.

-- BERNAMA-CMG