Ketersambungan Semata-mata Tidak Memadai Ketika ASEAN Berdepan Kemunculan Jurang Ai - Pemain Industri

09/09/2026 05:37 PM

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Transformasi digital ASEAN perlu melangkaui perluasan liputan rangkaian dengan memastikan rakyat berpeluang mengambil bahagian dengan selamat, mampu milik dan bermakna dalam ekonomi yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI), susulan kebimbangan jurang digital sedia ada berkembang menjadi “jurang AI”.

Ketua Perancangan Strategik dan Keahlian serta Penasihat Khas kepada Setiausaha Agung Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) Sulyna Abdullah berkata ketersambungan semata-mata tidak menjamin penyertaan, khususnya apabila pengguna masih ragu-ragu terhadap keselamatan, integriti dan daya tahan platform digital.

“Rangkaian boleh pantas, perkhidmatan boleh berfungsi seperti yang sepatutnya. Hari ini, ejen AI boleh menyelesaikan tugasan dalam beberapa saat, namun orang ramai mungkin masih teragak-agak.

“Ketersambungan membawa kita kepada ekonomi digital, manakala kepercayaan menentukan sejauh mana kita yakin menggunakannya, di rantau yang menyaksikan data, pembayaran, perkhidmatan digital dan sistem AI semakin merentasi sempadan negara,” katanya ketika berucap pada sesi ucapan Digital Trust Summit bertajuk Digital Trust as A National Capability bersempena dengan M360 ASEAN 2026 di sini, hari ini.

Sulyna berkata usaha membina kepercayaan digital perlu berteraskan tiga tonggak utama, iaitu melindungi pengguna, membolehkan penyertaan serta memperkukuh daya tahan infrastruktur, terutama apabila penipuan dan penyamaran identiti semakin menjejaskan keyakinan rakyat, manakala AI pula merumitkan isu identiti dan akauntabiliti.

Beliau berkata peralihan daripada sistem AI berasaskan maklumat kepada ejen autonomi yang mampu melakukan transaksi bagi pihak individu menimbulkan persoalan serius berkaitan kebenaran, pengesahan identiti dan liabiliti undang-undang sekiranya transaksi gagal.

“Kita sedang beralih daripada AI yang menjawab soalan kepada ejen AI yang boleh merancang, bertindak dan melakukan transaksi bagi pihak kita,” katanya.

Sulyna berkata kepercayaan pengguna juga banyak bergantung sama ada infrastruktur kritikal yang menyokong ekonomi digital berupaya terus beroperasi tanpa gangguan ketika krisis, sekali gus memerlukan kekukuhan daya tahan merangkumi rangkaian daratan, kabel dasar laut dan sistem satelit, disokong koordinasi rentas sempadan. 

“Akhirnya, cabaran bagi ASEAN berkisar kepada tiga persoalan daripada perspektif pengguna biasa: ‘Adakah saya selamat menggunakan teknologi ini? Bolehkah saya memperoleh manfaat daripadanya? Dan adakah sistem yang digunakan masih tersedia apabila saya amat memerlukannya?’

“Jika jawapannya ya, kita bukan sekadar membina ASEAN yang saling terhubung, tetapi ASEAN yang boleh dipercayai rakyat,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan ZTE Corporation untuk rantau Asia Pasifik dan CIS James Zhang memberikan amaran bahawa perkembangan pesat AI berisiko mengukuhkan jurang ketidaksamaan baharu jika infrastruktur pengkomputeran menjadi terlalu mahal bagi pasaran sedang pesat membangun.

Beliau berkata memandangkan permintaan global terhadap token AI melebihi unjuran awal, ia sekali gus meluaskan jurang antara negara maju dan membangun dari segi kapasiti pengkomputeran, pelaburan serta penggunaan.

“Walaupun industri telekomunikasi mengambil masa bertahun-tahun untuk merapatkan jurang ketersambungan, kemunculan AI membuatkan pembuat dasar dan industri kini perlu mempertimbangkan sama ada rakyat dan ekonomi mempunyai peluang yang sama untuk memperoleh manfaat daripada kecerdasan, bukannya hanya menumpukan kepada usaha menghubungkan mereka.

“Matlamat sekarang bukan sekadar menghubungkan semua, sebaliknya memastikan setiap orang mempunyai peluang yang sama untuk mendapat manfaat daripada kecerdasan,” katanya.

Beliau menggariskan empat tonggak strategik bagi pembangunan AI yang mampan, iaitu AI berdaulat, keselamatan, kemampuan dan kemampanan, di samping kerajaan perlu memelihara bahasa kebangsaan, budaya tempatan dan privasi peribadi, selain melindungi aset data penting. 

“Pada akhirnya kemampuan bergantung sama ada AI boleh dinikmati lebih ramai orang atau hanya mereka yang mampu menanggung kos pengkomputeran yang semakin mahal.

“Cabaran berkaitan kemampanan juga tidak kurang pentingnya apabila pertumbuhan AI semakin memberikan tekanan terhadap tenaga, tanah, dan sumber lain, sekali gus memerlukan kerajaan serta industri menilai semula perancangan yang dibuat sebelum kemunculan model AI berskala besar,” katanya.

Beliau mencadangkan model perkongsian infrastruktur yang sekian lama menjadi amalan sektor telekomunikasi boleh dijadikan panduan bagi AI, dengan membolehkan negara dan perusahaan menggabungkan sumber, mengurangkan pertindihan pelaburan serta menjadikan kapasiti pengkomputeran lebih mudah diakses.

M360 ASEAN 2026, anjuran GSM Association bermula hari ini hingga esok itu, menghimpunkan menteri, pengawal selia dan pemimpin industri untuk membincangkan kepercayaan digital, AI, infrastruktur berdaya tahan dan integrasi digital serantau.

Acara itu yang diadakan buat julung-julung kali di rantau ASEAN dan Malaysia, mendapat sokongan daripada Kementerian Komunikasi dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai rakan kongsi tuan rumah.

-- BERNAMA