ASEAN Laksana Pelan Lima Tahun Jamin Bekalan Ubat-ubatan Penting Untuk 600 Juta Penduduk

Timbalan Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Abdul Haniff Mohamad Yahaya ketika ditemu bual Bernama di luar persidangan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN (AHMM) ke-17 dan Mesyuarat Berkaitan di sebuah hotel hari ini.
10/09/2026 10:04 PM

Oleh Puti Iylia Maisarah

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- ASEAN sedang melaksanakan pelan tindakan lima tahun bagi menjamin bekalan ubat-ubatan penting pada harga berpatutan dan memastikan bekalannya berterusan untuk lebih 600 juta penduduk menerusi pengukuhan kerjasama serantau, penggabungan kuasa pembelian serta kemandirian dalam industri farmaseutikal.

Inisiatif ASEAN Drug Security and Self-Reliance (ADSSR) yang dipersetujui pada Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN (AHMM) ke-17 dan Mesyuarat Berkaitan hari ini bermatlamat memastikan bekalan ubat-ubatan penting yang selamat, berkualiti dan mampu milik sentiasa tersedia sama ada pada waktu biasa, ketika pandemik mahupun bencana alam.

Timbalan Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Abdul Haniff Mohamad Yahaya (tengah) bersama kakitangan di reruai pameran ASEAN Drug Security and Self-Reliance (ADSSR) di luar persidangan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN (AHMM) ke-17 dan Mesyuarat Berkaitan di sebuah hotel hari ini.

Inisiatif itu kini memasuki fasa penting, dengan negara-negara anggota bersiap sedia untuk melaksanakan Pelan Tindakan Strategik 2026-2030 susulan persetujuannya.

Kerangka kerja berkenaan berteraskan Deklarasi Komitmen ASEAN mengenai ADSSR, yang diterima pakai secara rasmi oleh pemimpin ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung di sini Mei tahun lepas.

Timbalan Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Abdul Haniff Mohamad Yahaya berkata persetujuan itu menandakan peralihan kepada fasa pelaksanaan.

"Inisiatif ini bermula pada 2019 apabila kami menjalankan analisis keadaan semasa dan kerangka ini kemudiannya dihasilkan semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di sini tahun lepas. Selepas kerangka itu diterima pakai, kami membangunkan Pelan Tindakan Strategik tahun ini.

“Dengan persetujuan pelan itu pada AHMM kali ini, ia kini disepadukan ke dalam Agenda Strategik Kesihatan ASEAN (ASHA) 2026-2030, sekali gus membolehkan kami bersedia untuk melaksanakannya di peringkat serantau,” katanya kepada Bernama pada AHMM ke-17 di sini hari ini.

Dr Abdul Haniff berkata pelan strategik itu merangkumi lapan strategi utama dengan Malaysia menjadi peneraju bersama lima bidang keutamaan yang berkepentingan tinggi kepada negara.

Beliau berkata inisiatif itu menangani cabaran pasaran serantau dengan memanfaatkan kuasa pembelian secara kolektif serta mempertingkatkan keupayaan tempatan bagi memastikan kemandirian dalam jangka panjang.

 “Di bawah ASHA, dalam aspek keselamatan ubat-ubatan, kami mahu memastikan bekalan ubat-ubatan dan produk farmaseutikal yang mampan kepada pesakit serta penduduk di seluruh ASEAN sentiasa terjamin dan berterusan. Kami juga mahu membangunkan tahap kemandirian tertentu, iaitu kita boleh saling bergantung antara satu sama lain dalam kalangan negara ASEAN,” katanya.

Abdul Haniff berkata pendekatan itu juga dapat membantu pasaran lebih kecil seperti Malaysia memperoleh produk farmaseutikal pada harga lebih kompetitif. 

“Dengan menggabungkan permintaan daripada negara anggota ASEAN, kita boleh meningkatkan jumlah pembelian untuk mendapatkan harga lebih berpatutan bagi penduduk kita,” katanya.

Abdul Haniff berkata pelan tindakan itu meliputi keseluruhan rantaian famaseutikal daripada penyelidikan dan pembangunan (R&D), pendaftaran kawal selia dan pembuatan hingga akses pasaran dan pembekalan ubat kepada pesakit.

Antara langkah utama ialah mewujudkan mekanisme perolehan dan stok simpanan uabt-ubatan di peringkat serantau, meningkatkan penggunaan platform perkongsian maklumat harga serta membangunkan kerangka tadbir urus ADSSR.

Beliau berkata pelan berkenaan turut memfokuskan kepada perkongsian amalan terbaik dalam kalangan negara anggota ASEAN, selain menyokong inisiatif R&D yang dibiayi serta dijalankan secara bersama-sama.

AHMM ke-17 bertemakan “Healthy ASEAN: Together Towards Equitable, Future-Ready Health Systems” berlangsung di sini dari 7 hingga 11 Sept dengan Malaysia selaku pengerusi dan Myanmar sebagai naib pengerusi.

-- BERNAMA