Malaysia Perlu Main Peranan Lebih Besar, Perluas Penyelesaian AI Tempatan Untuk ASEAN - Teo

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching menyampaikan ucapan pada Majlis Penutupan M360 GSMA ASEAN di Hotel Grand Hyatt hari ini.
10/09/2026 08:21 PM

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Malaysia perlu memainkan peranan lebih besar daripada sekadar menjadi pengguna kecerdasan buatan (AI) dengan meletakkan asas bagi syarikat korporat, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pemula untuk membangunkan dan memperluas penyelesaian teknologi itu bagi pasaran ASEAN.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata aspirasi AI Malaysia perlu melangkaui sekadar penggunaan teknologi sebaliknya disokong oleh asas digital yang kukuh merangkumi ketersambungan, kapasiti pengkomputeran, infrastruktur awan dan data serta rangkaian pintar, berdaya tahan dan selamat.

"Malaysia perlu menyediakan asas untuk syarikat korporat, PKS dan syarikat pemula untuk membangun, melaksana serta memperluas penyelesaian AI bagi pasaran Malaysia dan rantau ASEAN yang lebih luas," katanya dalam ucapan penutup pada sesi M360 ASEAN 2026 bertajuk AI-First Enterprises: Driving Innovation and Business Transformation di sini hari ini.

Beliau berkata AI bukan lagi sekadar teknologi yang diguna pakai oleh perusahaan sebaliknya menjadi keupayaan asas yang akan menentukan cara perniagaan bersaing, berinovasi dan mencipta nilai kerana syarikat-syarikat di seluruh ASEAN kini bergerak melangkaui fasa percubaan serta menilai semula operasi, model tenaga kerja dan proses pembuatan keputusan mereka.

"Malaysia sudah mempunyai asas ketersambungan yang kukuh, dengan liputan Internet di kawasan berpenduduk mencapai 99.75 peratus setakat 31 Julai 2026 di bawah inisiatif JENDELA manakala pelaksanaan peluasan 5G yang berterusan dan kabel dasar laut SALAM turut meningkatkan kapasiti serta daya tahan rangkaian," katanya.

Teo berkata menjadi organisasi yang mengutamakan AI juga harus bermakna mengutamakan rakyat kerana teknologi itu akan mengubah landskap pekerjaan, kemahiran dan cara organisasi beroperasi sekali gus menuntut usaha berterusan untuk melatih semula serta meningkatkan kemahiran bagi mempersiap rakyat Malaysia mendepani ekonomi yang dipacu AI.

“Justeru, kejayaan AI tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan kecanggihan teknologi tetapi juga sejauh mana manfaatnya dapat dikongsi secara meluas. PKS dan komuniti juga harus berupaya untuk turut serta dalam transformasi ini,” katanya.

Beliau berkata inovasi perlu berkembang seiring dengan kepercayaan kerana AI semakin diterapkan dalam operasi perniagaan dan proses membuat keputusan sekali gus menjadikan aspek privasi, keselamatan siber, ketelusan serta akauntabiliti semakin penting.

“Bagi perniagaan, penggunaan AI secara bertanggungjawab bukan sekadar soal pematuhan kerana kepercayaan akan menjadi kelebihan daya saing.

“Skala cabaran ini mengingatkan kita bahawa apabila teknologi berkembang, aspek akauntabiliti dan langkah-langkah perlindungan juga harus dipertingkat seiring dengannya,” katanya.

Di peringkat serantau pula, Teo berkata ekonomi digital ASEAN berpotensi mencecah nilai hingga USD2 trilion menjelang 2030 dengan pelaksanaan berkesan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) sekali gus menuntut rantau ini untuk melihat melangkaui sempadan negara bagi merebut peluang berkaitan AI.

Beliau berkata AI memberi peluang kepada Malaysia untuk memanfaatkan asas digital sedia ada dan menjana tahap produktiviti serta pertumbuhan seterusnya, sambil menambah bahawa sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta e-dagang negara menyumbang RM451.3 bilion, atau 23.4 peratus daripada ekonomi, pada 2024.

“Transformasi Malaysia adalah berteraskan aspirasi untuk menjadi Negara AI yang inklusif dan mampan menjelang 2030, dengan tumpuan diberikan kepada usaha memperkukuh daya saing, membangunkan penyelesaian ‘Buatan Malaysia’, membina kepercayaan digital serta memastikan manfaat AI dikongsi oleh seluruh masyarakat.”

"Hasrat tersebut diterjemahkan kepada tindakan melalui Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030, iaitu pelan hala tuju lima tahun yang mengguna pakai pendekatan menyeluruh melibatkan kerajaan, sektor perniagaan dan rakyat, selain disokong oleh 28 inisiatif nasional merangkumi bidang seperti bakat, penyelidikan, data dan pengkomputeran serta tadbir urus," katanya.

Di peringkat ASEAN, Teo berkata Pelan Hala Tuju AI Bertanggungjawab ASEAN 2025-2030 dan Rangkaian Keselamatan AI ASEAN (ASEAN AI SAFE) akan memperkukuh kerjasama serantau serta membantu negara anggota memajukan inovasi seiring aspek kemahiran, keterangkuman, tadbir urus dan pengurusan risiko.

“Malaysia dan ASEAN tidak menganggap inovasi dan tanggungjawab sebagai matlamat yang saling bersaing.

“Aspek kepercayaan, keselamatan dan kebolehoperasian memberikan keyakinan lebih tinggi kepada perniagaan untuk melabur, berinovasi serta memperluas penggunaan AI di seluruh rantau ini,” katanya sambil menambah bahawa ASEAN bukan sekadar perlu bersedia mendepani masa depan yang diterajui AI malah turut berperanan membentuknya.

M360 ASEAN 2026, yang dianjurkan oleh GSMA pada 9 dan 10 Sept, menghimpunkan menteri, pengawal selia dan pemimpin industri untuk membincangkan isu berkaitan kepercayaan digital, AI, infrastruktur berdaya tahan serta integrasi digital serantau.

Acara itu, yang julung-julung kali diadakan di rantau ASEAN dan di Malaysia, mendapat sokongan Kementerian Komunikasi dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bertindak sebagai rakan penganjur.

-- BERNAMA