Kerelevanan Linguistik, Kebolehcapaian Penting Untuk Penggunaan Ai

10/09/2026 08:27 PM

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Kerelevanan lingusitik dan kebolehcapaian merupakan faktor penting dalam mendorong penggunaan kecerdasan buatan (AI) pada peringkat pengguna, khususnya dalam masyarakat berbilang bahasa seperti Malaysia, kata Ketua Pegawai Eksekutif HONOR Malaysia Ethan Chen.

Sambil menegaskan bahawa kerelevanan, kebolehcapaian dan kemudahan penggunaan adalah penting, beliau berkata sistem AI perlu memahami tugas harian pengguna dalam pelbagai bahasa tanpa memerlukan pengguna memiliki pengetahuan teknikal yang khusus.

"’Pengguna bukan jurutera prompt, jadi sepatutnya mereka boleh menggunakan peranti AI dengan sangat mudah dan ringkas," katanya pada sesi panel bertajuk "Navigating Regional Strategy in a Shifting Global Order" pada persidangan M360 ASEAN 2026 di sini, hari ini.

Chen berkata keterbukaan dan kerjasama yang lebih erat antara pengeluar peranti, pengendali telekomunikasi, pembangun aplikasi dan platform AI dapat membantu merungkai batas teknologi sedia ada dan memberi pengguna pengalaman yang lebih menyeluruh.

"Kita melihat banyak peranti dalam ekosistem atau aplikasi sistem yang mempunyai batasan masing-masing. Maka, melalui keterbukaan dan kerjasama, mereka dapat bersama-sama mewujudkan persekitaran yang selamat dan dipercayai atau pengalaman lebih baik kepada pengguna," katanya.

Sesi panel yang dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Match-Maker Ventures Nicolai Schaerrgen itu turut membincangkan integrasi serantau dengan ahli panel menyarankan pendekatan bergotong-royong bagi membangunkan ekosistem AI ASEAN menerusi perkongsian data, bakat dan sumber pengkomputeran serantau, berbanding setiap negara cuba membangunkan segala-galanya bersendirian.

Sementara itu, Pengarah Kanan AI Singapore Leslie Teo berkata pendekatan berasaskan komuniti dan sumber terbuka amat diperlukan di Asia Tenggara, yang mempunyai kira-kira 1,200 bahasa selain kepelbagaian budaya, sejarah dan realiti sosioekonomi.

"Konsep komuniti membangunkan teknologi secara bersama bukanlah sesuatu yang baharu, malah sebahagian besar pembangunan AI masa kini mendapat manfaat daripada gerakan sumber terbuka global yang membolehkan pengetahuan tersedia untuk dibangunkan pihak lain.

"Kami cuba membina ekosistem dan platform, dan perkara ini mesti terbuka. Kerjasama juga penting kerana Asia Tenggara secara individu tidak mempunyai data, unit pemprosesan grafik atau bakat AI yang mencukupi untuk menandingi China dan Amerika Syarikat," katanya.

Beliau berkata AI Singapore sedang membina pengetahuan global sambil menyatukan rangkaian serantau yang terdiri daripada kumpulan bahasa dan pemprosesan semula jadi terkemuka di Asia Tenggara, universiti dan syarikat teknologi utama Amerika dan China, bagi meletakkan asas untuk negara dan perusahaan membangunkan penyelesaian AI mereka sendiri.

"Sekali lagi, ia kembali kepada konsep ekosistem sumber terbuka, membiarkan semua orang membina atas hasil satu sama lain untuk memberikan manfaat bersama, kemudian kita bersaing. Kita akan bersaing, tetapi marilah kita bersaing daripada asas yang lebih tinggi supaya rantau kita mempunyai model yang dekat dengan realiti kita," katanya.

Naib Presiden NTT DOCOMO Yoshio Umezawa pula berkata kerjasama AI serantau perlu membezakan antara kedaulatan data dengan AI itu sendiri dengan data sensitif memerlukan kawalan sejawarnya, manakala model AI berpotensi dikongsikan secara lebih meluas.

"Dari segi data, perkara itu berkaitan dengan kepercayaan dan kedaulatan, jadi banyak negara akan menyimpan data di negara sendiri, manakala AI pula berbeza selagi kestabilan dan tadbir urus terjamin, saya tidak kisah dari mana asal usul model itu," kata Umezawa.

Walaupun skala ekonomi berpihak kepada pembangunan asas AI serantau secara bersama, Umezawa berkata syarikat telekomunikasi boleh mengukuhkan kepercayaan di seluruh ekosistem dengan memanfaatkan pengesahan pelanggan dan data yang disahkan.

"Sebagai pengendali, kami mahu menyediakan sumber asal dan pengesahan. Kami mempunyai fungsi pengesahan serta data kukuh untuk disampaikan kepada pengguna dan menyumbang kepada industri," katanya.

M360 ASEAN 2026, anjuran GSMA di Kuala Lumpur pada 9 dan 10 Sept, menghimpunkan menteri, pengawal selia dan pemimpin industri untuk membincangkan kepercayaan digital, kecerdasan buatan, infrastruktur berdaya tahan dan integrasi digital serantau.

Acara itu yang diadakan buat julung-julung kali di rantau ASEAN dan Malaysia, mendapat sokongan daripada Kementerian Komunikasi dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai rakan kongsi tuan rumah.

-- BERNAMA