AHMM: Baguio Raih Emas Anugerah ASEAN Bebas Asap Rokok
MANILA, 10 Sept (Bernama-PNA) -- Bandar Baguio meraih Anugerah Emas pada Anugerah ASEAN Bebas Asap Rokok (ASA) kedua yang berlangsung di Kuala Lumpur, Malaysia pada Khamis, sebagai pengiktirafan terhadap usahanya melaksanakan dan menguatkuasakan dasar bagi melindungi orang ramai daripada asap tembakau, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Sementara itu, Bandar Pasig merupakan antara lima kerajaan tempatan dari Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina dan Thailand yang menerima Anugerah Gangsa pada majlis yang diadakan sempena pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN (AHMM).
George Town di Pulau Pinang, Malaysia menerima Anugerah Perak, manakala Singapura diberikan sijil Pengiktirafan Khas atas penguatkuasaan kawasan bebas asap rokok yang konsisten dan cemerlang.
Anugerah itu mengiktiraf kerajaan subnasional atas pencapaian dalam dasar bebas asap rokok serta usaha melindungi kesihatan awam.
Inisiatif itu diterajui kerajaan Laos di bawah Kluster Kesihatan ASEAN 1 dengan kerjasama Southeast Asia Tobacco Control Alliance (SEATCA) dan Sekretariat ASEAN.
Pengarah Eksekutif SEATCA Ulysses Dorotheo berkata penerima anugerah membuktikan bahawa dasar bebas asap rokok yang tegas boleh dilaksanakan dengan jayanya di peringkat tempatan.
“Penerima anugerah tahun ini membuktikan bahawa dasar bebas asap rokok yang ketat dan dikuatkuasakan dengan tegas boleh dilaksanakan dan amat diperlukan sekiranya jutaan nyawa mahu diselamatkan daripada ancaman maut akibat wabak tembakau. SEATCA akan terus bekerjasama dengan bandar-bandar ini untuk meningkatkan pencapaian sedia ada.
“Kami percaya kerajaan lain di Asia Tenggara akan menjadikan pencapaian ini sebagai inspirasi. Kerajaan tempatan menunjukkan bahawa persekitaran bebas asap rokok boleh dan perlu menjadi piawaian di seluruh rantau ini dengan bertegas menghadapi cabaran daripada industri tembakau serta mengutamakan kesihatan awam,” kata Dorotheo dalam kenyataan.
Kementerian Kesihatan Laos berkata penganjuran kali kedua anugerah itu mencerminkan komitmen negara anggota ASEAN untuk menterjemahkan komitmen kesihatan serantau kepada langkah yang secara langsung melindungi masyarakat.
“Penganjuran kali kedua ini menunjukkan komitmen bersama rantau kita untuk menterjemahkan komitmen peringkat tinggi ASEAN kepada perlindungan sebenar untuk rakyat. Laos akan terus bekerjasama dengan semua negara anggota bagi menggalakkan komuniti yang lebih sihat dan bebas asap rokok,” menurut kementerian itu.
Anugerah ASEAN Bebas Asap Rokok selaras dengan Agenda Pembangunan Kesihatan ASEAN Pasca-2015 dan Deklarasi ASEAN mengenai Budaya Pencegahan 2017.
Inisiatif itu bermula daripada kempen “Ke Arah ASEAN Bebas Asap Rokok” yang dilancarkan pada Mac 2012 semasa Persidangan Dunia mengenai Tembakau atau Kesihatan di Singapura.
Inisiatif berkenaan kemudiannya diperakui pada Mesyuarat Kluster Kesihatan ASEAN 1 ke-4 di Vientiane, Laos.
Anugerah ASEAN Bebas Asap Rokok yang julung kali diadakan berlangsung pada 8 Ogos 2024 di Vientiane, dengan Bandar Iloilo menjadi penerima pertama Anugerah Emas selepas memperoleh markah penilaian tertinggi.
Bandar Bogor di Indonesia menerima Anugerah Perak, manakala Perbandaran Saensuk di Thailand dan Bagan di Myanmar menerima Anugerah Gangsa.
-- BERNAMA-PNA
