Hubungan Malaysia-Singapura Kekal Penting Dalam Persekitaran Global Mencabar

10/09/2026 10:00 PM

Oleh Anas Abu Hassan

SINGAPURA, 10 Sept (Bernama) -- Mengekalkan hubungan Malaysia-Singapura yang kukuh dan berpandangan jauh amat penting bagi daya tahan kedua-dua negara dalam menghadapi persekitaran global yang semakin mencabar dan tidak menentu, kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datin Paduka Anizan Siti Hajjar Adnin.

Beliau berkata Malaysia dan Singapura berpeluang memperkukuh hubungan dua hala dalam tempoh sedekad akan datang menerusi integrasi ekonomi yang lebih erat, kesalinghubungan yang lebih baik serta hubungan rakyat dengan rakyat yang lebih kukuh.

Anizan berkata kedua-dua negara berkongsi kepentingan bersama dalam memastikan rantau ini menghormati undang-undang antarabangsa, mendukung kedaulatan, melindungi kebebasan pelayaran serta menyelesaikan pertikaian secara aman.

“Justeru, Malaysia menantikan Kepengerusian ASEAN oleh Singapura pada 2027, yang dijangka meneruskan usaha cemerlang yang dilaksanakan Filipina tahun ini,” katanya pada majlis sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 di sini, Khamis.

Turut hadir Menteri Pembangunan Negara Singapura Chee Hong Tat bersama-sama 600 tetamu kenamaan daripada pelbagai perwakilan diplomatik serta rakyat Malaysia yang menetap di Singapura.

Anizan berkata hubungan dua hala kedua-dua negara berada pada landasan positif dan konstruktif, dengan beberapa pencapaian penting bakal direalisasikan yang akan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara serta memperkukuh lagi integrasi ekonomi.

Ini termasuk pengoperasian Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang akan datang serta pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang sedang berlangsung.

Sementara itu, Chee berkata Singapura menghargai kerjasama erat dan perkongsian dengan Malaysia serta pertukaran idea yang berterusan bagi meneruskan momentum kukuh kerjasama kedua-dua negara.

Beliau berkata hubungan Singapura-Malaysia berteraskan rakyat, dan kedua-dua negara jiran itu mempunyai banyak perkara yang boleh dipelajari antara satu sama lain.

“Bandar raya kita berdepan pelbagai cabaran yang sama dalam merancang pertumbuhan, meningkatkan kesalinghubungan, mengurus risiko berkaitan air dan banjir, serta membangunkan komuniti yang berdaya huni dan mampan.

“Dengan bertukar amalan terbaik, berkongsi pengalaman dan yang penting, bekerjasama dalam penyelesaian praktikal, kita boleh mencapai hasil yang lebih baik untuk rakyat,” katanya.

-- BERNAMA