Kesalinghubungan, Kepercayaan Awam Perlu Bergerak Seiring Demi ASEAN Digital Inklusif

10/09/2026 04:27 PM

Oleh Nabilah Saleh

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Seiring dengan usaha Malaysia ke arah ekosistem digital serantau yang saksama dan selamat, negara-negara ASEAN mesti mempercepat kesalinghubungan sambil memperkukuh kepercayaan awam bagi memastikan komuniti luar bandar dan pedalaman tidak terpinggir.

Keutamaan bersama ini ditegaskan oleh para pemimpin serantau, semasa sesi panel mengenai kesalinghubungan dan kepercayaan digital pada persidangan M360 ASEAN 2026 di sini hari ini, yang dihoskan di Malaysia ketika negara ini memperjuangkan masa hadapan digital yang bersatu dan selamat untuk blok itu.

Sekretaris Jenderal Kementerian Komunikasi dan Digital (KOMDIGI) Indonesia Dr Ir Ismail berkata campur tangan kerajaan, kekal diperlukan di kawasan yang pembinaan infrastruktur telekomunikasinya tidak berdaya maju secara komersial untuk pengendali swasta.

“Infrastruktur merupakan satu kemestian dan kesalinghubungan juga satu kemestian, kerana kesalinghubungan digital memberi kita peluang untuk meningkatkan ekonomi dan kemakmuran rakyat kita, termasuk dalam pendidikan dan kesihatan,” katanya.

Ismail berkata kompleksiti geografi Indonesia, yang merangkumi lebih 17,000 pulau, memerlukan kerajaan menyokong infrastruktur guna sama, termasuk rangkaian terestrial dan kesalinghubungan satelit.

Beliau berkata infrastruktur akses terbuka sedemikian, boleh disediakan kepada pengendali telekomunikasi pada kos yang minimum, membolehkan mereka memperluas perkhidmatan kepada komuniti yang kurang mendapat liputan, sambil mengekalkan operasi yang mampan.

Ismail berkata kerajaan Indonesia juga sedang menguruskan kos spektrum dan membenarkan kerjasama infrastruktur dalam kalangan pengendali, untuk mempercepat peluasan perkhidmatan 5G.

Beliau berkata liputan 5G di Indonesia telah mencapai kira-kira 50 peratus dan akan diperluas secara berperingkat dari bandar-bandar utama ke bandar-bandar kedua serta kawasan luar bandar.

Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa kesalinghubungan fizikal semata-mata tidak mencukupi tanpa keyakinan awam yang kukuh untuk memacu penerimagunaan penyelesaian dalam talian, terutamanya perkhidmatan kewangan digital.

“Kepercayaan bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata. Kerjasama antara semua pihak berkepentingan, diperlukan untuk membina kepercayaan tersebut,” katanya.

Berkongsi perspektif yang sama, Pengerusi Pihak Berkuasa Komunikasi Nasional Timor-Leste Flavio Cardoso Neves berkata negaranya sedang mengutamakan kesalinghubungan, keselamatan siber dan keyakinanawam terhadap keselamatan digital, pada ketika negara itu memajukan transformasi digitalnya.

“Kesalinghubungan adalah yang paling penting. Kita bercakap mengenai pendigitalan, tetapi tanpa kesalinghubungan di kawasan luar bandar, adalah sukar untuk memastikan semua rakyat mempunyai akses,” katanya.

Neves berkata Timor-Leste sedang membangunkan kesalinghubungan di seluruh negara dan infrastruktur kabel dasar laut, sambil belajar daripada pengalaman negara-negara ASEAN yang lain, termasuk Indonesia dan Malaysia.

Beliau berkata celik digital adalah sangat penting, bagi memastikan rakyat menggunakan teknologi mengikut keperluan mereka dan dengan rasa tanggungjawab.

M360 ASEAN 2026, yang dianjurkan oleh GSMA pada 9 dan 10 Sept, menghimpunkan para menteri, pengawal selia dan pemimpin industri untuk membincangkan kepercayaan digital, kecerdasan buatan, infrastruktur berdaya tahan dan integrasi digital serantau.

Acara tersebut, yang diadakan buat julung kalinya di rantau ASEAN dan di Malaysia, disokong oleh Kementerian Komunikasi, dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai rakan hos.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil merasmikan pembukaan persidangan itu pagi ini.

-- BERNAMA