AHMM Ke-17: Malaysia Ketengah Pendekatan Praktikal Tangani NCD Melalui "Mai Kurang"
Oleh Maizatul Jamny Muhammad Rosli
KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Malaysia berkongsi inisiatif “Mai Kurang” yang menggalakkan pengurangan gula, garam dan kalori sebagai pendekatan praktikal negara dalam menangani penyakit tidak berjangkit (NCD) di peringkat ASEAN.
Inisiatif berkenaan diketengahkan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN (AHMM) ke-17 dan Mesyuarat Berkaitan di sini, sekali gus mencerminkan usaha Malaysia menterjemahkan agenda pencegahan NCD kepada langkah yang mudah dilaksanakan dalam kehidupan seharian masyarakat.
Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Noraryana Hassan berkata inisiatif oleh Bahagian Pemakanan itu selaras dengan fokus Kluster Satu ASEAN.
“Kluster satu ini melihat kepada aspek gaya hidup dan NCD. Jadi ‘Mai Kurang’ adalah satu daripada cara untuk menangani NCD di dalam ASEAN,” katanya kepada Bernama di reruai yang diadakan bersempena dengan mesyuarat berkenaan di sini hari ini.
Dr Noraryana berkata inisiatif itu turut mendapat perhatian wakil negara anggota ASEAN dan negara luar yang mengunjungi reruai Malaysia, termasuk pertanyaan mengenai kaedah pelaksanaan dan pendekatan yang digunakan.
Beliau berkata “Mai Kurang” menumpukan kepada penyediaan hidangan dengan kriteria tidak melebihi 500 kilokalori, 600 miligram garam dan 12.5 gram gula, sebagai usaha mengawal pengambilan ketiga-tiga komponen itu dalam pemakanan harian.
Jelasnya, usaha itu turut dilaksanakan menerusi penerbitan buku resipi “Mai Kurang Garam Gula Kalori” terbitan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) serta mesin layan diri dengan unit pertama akan ditempatkan di fasiliti KKM.
Mesin layan diri itu bakal menawarkan 70 peratus pilihan makanan menggunakan resipi “Mai Kurang”, manakala baki 30 peratus terdiri daripada resipi biasa.
“Jadi akan ada pilihan dan telah dipersetujui resepi ‘Mai Kurang’ harganya akan lebih rendah daripada resepi biasa. Ini antara pendekatan yang akan kita laksanakan,” katanya memaklumkan pelancaran kecil-kecilan mesin berkenaan dijangka dilakukan selepas AHMM ke-17 ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan NCSM Prof Madya Dr M. Murallitharan berkata penghasilan buku resipi berkenaan melalui proses penilaian pakar nutrisi, masyarakat umum serta pesakit NCD bagi memastikan ia memenuhi kriteria ditetapkan dan pada masa yang sama tidak mengabaikan cita rasa.
Beliau berkata program “Mai Kurang” menggunakan pendekatan perubahan tingkah laku secara beransur-ansur serta mengambil kira aspek praktikal dengan memastikan makanan yang disediakan tetap enak walaupun kandungan kalori, gula dan garam dikurangkan.
“Kementerian mengambil pendekatan memupuk atau apa yang kita panggil sebagai behavioral nudging,” katanya.
Dr Murallitharan berkata buku pertama “Mai Kurang Garam Gula Kalori” yang diterbitkan pada Mei mengandungi 30 resipi dan disediakan secara percuma menerusi laman web, manakala edisi seterusnya dijangka tersedia sebelum Oktober.
Beliau berkata usaha itu akan diteruskan dengan sasaran menghasilkan hingga kira-kira 200 menu bagi memberi lebih banyak pilihan kepada masyarakat.
Beliau berkata konsep sama turut diperkenalkan secara berperingkat di festival makanan dan katering dengan menggalakkan penyedia makanan menghasilkan versi “Mai Kurang”, sekali gus membantu membentuk cita rasa dan amalan pemakanan masyarakat.
“Jadi, perubahannya adalah daripada slogan kepada tindakan. Perlahan-lahan kita cuba mengubah dan mengolah cita rasa serta juga tabiat pemakanan rakyat Malaysia,” katanya.
AHMM ke-17 yang berlangsung dari 7 hingga 11 Sept di Kuala Lumpur diterajui oleh Malaysia selaku Pengerusi dan Myanmar sebagai Naib Pengerusi dengan mengangkat tema “Healthy ASEAN: Together Towards Equitable, Future Ready Health Systems.”
-- BERNAMA
