AHMM Ke-17: Jerebu Tiada Dalam Agenda, Perbincangan Sampingan Berterusan - Dzulkefly

10/09/2026 01:17 PM

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Isu jerebu rentas sempadan tidak disenaraikan dalam agenda rasmi Mesyuarat Menteri Kesihatan ASEAN ke-17 (AHMM) dan Mesyuarat Berkaitan namun dibincangkan oleh kalangan menteri kesihatan serantau di sela-sela mesyuarat tersebut.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata isu itu kemudiannya boleh dibincangkan dalam mesyuarat pegawai kanan.

“…kami (akan) mengadakan perbincangan sampingan dalam kalangan menteri kesihatan. Dalam perbincangan itu kami terus bincangkan. Mungkin, dalam mesyuarat yang seterusnya, mesyuarat pegawai kanan boleh meneruskan perkara ini. Bagaimanapun, sebagai agenda (rasmi), kami tidak bincangkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran ASHA 2026-2030 di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Dr Dzulkefly berkata isu itu boleh ditangani dalam lingkungan skop kluster kesihatan sedia ada.

Apabila ditanya sama ada Malaysia merancang untuk mengadakan perbincangan dua hala dengan Indonesia mengenai isu jerebu, menteri kesihatan itu berkata: “Kami membangkitkannya, tetapi kami perlu membincangkannya lagi.”

Semalam, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata Malaysia masih menunggu pengesahan daripada pihak Indonesia untuk mengerakkan aset-aset yang boleh digunakan bagi membantu mengatasi kebakaran hutan di negara itu, yang mengakibatkan jerebu rentas sempadan.

-- BERNAMA